Khamis, 28 Mei 2009

Sayyidi Husain Peringatkan Sambutan Maulid Syeikh Awal Rejab

Sayyidi Husain ibn Sayyidi Syeikh Abdul Ghani

Sewaktu majlis hadrah di Masjid Maulana Syeikh Soleh Jaafari malam Jumaat lepas, Sayyidi Husain ketua bagi pemuda bagi Tariqat Jaafariyah mengingatkan sekalian abna' tentang kedatangan bulan Rejab yang akan datang adalah sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari seperti yang disambut sejak tahun 1980. Tahun ini genaplah 30 tahun sudah Maulana Syeikh Soleh kembali ke rahmatullah. Tahun ini juga merupakan sambutan maulid tahun yang ke-29. Maulid Syeikh Soleh ditetapkan disambut pada minggu pertama bulan Rejab setiap tahun. Bermula pada hari Ahad minggu pertama bulan Rejab, ia berlangsung selama lima malam berturut-turut. Pada malam pertama (hari Ahad), selepas solat maghrib, lazimnya diadakan bacaan Al-Quran hingga khatam 30 juzuk dengan diniat disedekahkan kepada Syeikh Soleh Jaafari.

Majlis kemudian akan diselang-seli dengan bacaan madih dengan ucapan ringkas dari para ulamak jemputan yang diberikan peluang berucap. Para hadirin juga berkesempatan untuk mendengar kalam nasihat dari kalangan ulamak yang hadir di majlis tersebut terutama para pensyarah dan ulamak Al-Azhar.

Sepanjang lima hari sambutan maulid juga turut diadakan pameran (ma'aradh) kitab di perkarangan masjid yang akan didirikan khemah. Antara kitab yang dijual pada pameran tersbeut termasuk buku karangan Syeikh Soleh, kitab tasawuf lain serta tidak ketinggalan gambar-gambar kenangan Syeikh Soleh, VCD dan kaset yang memuatkan suara Syeikh Soleh sewaktu menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar serta alunan madaih.

Majlis hadrah akan berlangsung setiap malam tersebut selepas solat maghrib manakala malam penutupnya (Lailah khitamiyyah) akan berlangsung pada hari Khamis, malam Jumaat. Pada malam penutup tersebut majlis hadrah akan berlangsung hingga menjelang solat Subuh pagi Jumaat.

Oleh itu, bagi menyambut perayaan yang besar ini, sewajarnya Sayyidi Husain memperingati kembali terutama para pemuda yang selesai menjalani peperiksaan untuk membantu mengadakan persiapan yang sepatutnya terutama di dalam ruang solat dan di kawasan maqam.

Begitulah taqwim sambutan maulid Ahli keluarga Rasulullah s.a.w di Mesir. Sebelum sambutan maulid Syeikh Soleh, tidak lama lagi tanggal 3 Jun ini kita semua bakal merayakan sambutan maulid Sayyidah Nafisah dan seminggu kemudian diadakan pula sambutan Maulid puteri kesayangan Rasulullah s.a.w iaitu Sayyidah Fatimah Az-Zahra'. Ini semua bagi bertujuan untuk mendekatkan diri para hamba Allah sekalian kepada mereka yang telah dipilih oleh Allah menjadi pertalian darah dengan kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.


Pameran yang diadakan di perkarangan masjid Syeikh Soleh, Darrasah sepanjang sambutan maulid berlangsung.

Kemuliaan Sayyidina Husain (2): Adab-Adab Menziarahinya

Sayyidi Muhammad Soleh dan Sayyidi Husain di hadapan maqam nenda mereka, Sayyidina Al-Imam Husain membacakan madaih sebelum berdoa.

Antara adab kita ketika menziarahi Sayyidina Husain r.anhu:

1. Selepas menunaikan solat sunat tahiyyat masjid, maka bergeraklah menuju ke salah satu dari dua pintu utama maqam Sayyidina Al-Imam Husain dan mendahuluinya dengan kaki kanan.

2. Masuklah ziarah bersama-sama dengan jasad dan roh. Masuk dengan jasad bererti berjalan menghampiri binaan maqam tersebut dengan penuh rendah diri, tidak banyak mendongakkan kepala apatah lagi jika ada sifat 'ujub atau takabbur di dalam hati. Manakala masuk bersama roh bererti menghadirkan segala sifat mahmudah iaitu rendah diri di dalam hati. Elakkan hati dari sifat 'ujub , riak atau takabbur seperti memandang rendah kepada golongan yang duduk di sekitar kawasan maqam dengan pandangan yang buruk seperti menganggap mereka pengemis dan sebagainya.

3. Ikhlaskan niat semata-mata kerana Allah. Merasakan diri teramat hina kerana kita sedang mengadap dengan kekasih Allah dan Rasul-Nya yang disebut oleh Rasulullah s.a.w bahawa Sayyidina Husain merupakan ketua bagi pemuda dalam syurga kelak (Sayyid Syabab Ahlil Jannah).

4. Meyakini bahawa sekitar kawasan maqam tersebut iaitu yang terletak di bawah kubah maqam itu adalah tempat yang dilimpahi rahmat dan berkat dari Allah.

5. Meyakini kita sedang berada bersama-sama Sayyidina Husain seperti waktu beliau hidup kerana beliau sebenarnya tidak mati berdasarkan firman Allah perihal kehidupan orang-orang mati syahid yang hidup. Sayyidina Husain termasuk dari kalangan mereka itu kerana syahid di medan perang Karbala.

6. Meyakini kita berada bersama-sama hamba Allah yang paling mulia di Mesir seperti kalam Maulana Syeikh Soleh Jaafari seperti dipetik dalam kitab Pengajian Jumaat beliau pada jilid kesembilan (muka surat 38). Dalam pengajiannya itu, beliau menceritakan bahawa kebersamaan (ma'iyyah) dari satu generasi ke satu generasi memainkan peranan yang besar dalam mengembangkan ajaran Islam. Beliau menyebut:

"Para sahabat r.anhum hidup berada bersama-sama (ma'iyyah) dengan Rasulullah s.a.w, manakala para tabi'en pula hidup bersama-sama (ma'iyyah) para sahabat, para tabi' tabi'en pula hidup bersama-sama para tabi'en..."

Lalu ketika itu bangun seorang lelaki lalu berkata, "Al-Fatihah (bertujuan untuk doa) mudah-mudahan kami semua hari ini dapat hidup dalam kebersamaanmu wahai Syeikh Soleh,"

Lalu jawab Syeikh Soleh "Kebersamaan itu bukan bersamaku, akan tetapi kebersamaan kita pada hari ini ialah bersama-sama seafdhal-afdhal hamba Allah di Mesir... Siapa? Itulah dia Sayyiduna Maulana Al-Imam Husain bin 'Ali, jika kamu berkata kepadanya "Assalamu'alaika ya Sayyidana Al-Imam, nescaya Allah akan sampaikan salam itu kepadanya."


7. Kemudian, berdirilah menghadap ke arah maqamnya sambil membelakangi kiblat, hadapkan wajah kita kepada maqam Sayyidina Husain dengan penuh khusyuk, tentunya air mata akan mengalir penuh keinsafan.

8. Ucapkanlah salam kepada Sayyidina Husain seperti:

السلام عليك يا سيدنا الحسين
السلام عليك يا سيد شباب أهل الجنة
السلام عليك يا إبن لبنت الرسول


9. Kemudian, bacalah ayat Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 154. Firman Allah Ta'ala:

ولا تقولوا لمن يقتل في سبيل الله أموات بل أحياء ولكن لا تشعرون

Bermaksud:
"Jangan sesekali kamu mengatakan bahawa orang yang mati di jalan Allah itu mati bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka akan tetapi kamu tidak menyedarinya."

10. Kemudian berdoalah dengan bertawassul dengan Nabi Muhammad s.a.w dan Sayyidina Husain seperti contohnya:

اللهم إني أتوجه وأتوسل إليك بنبيك سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم
يا سيدي يا محمد رسول الله إني توجهت بك إلى ربي أن يقضي حوائجي وأن يُعْطِيَنِي مَا سَألَناَهُ وأن يُفَرِّجَ عَنِي همي وغمي وكربي
صلى الله عليك وسلم يا سيدي يا رسول الله
اللهم شفعه فيََ


Bermaksud:
"Ya Allah! Sesungguhnya aku hadapkan (permintaan aku) dan bertawassul kepada Engkau dengan Nabi Engkau Muhammad s.a.w,
Ya Sayyidi Ya Muhammad Ya Rasul Allah! Sesungguhnya aku meminta dengan engkau kepada Tuhanku agar Dia menunaikan segala hajatku, memberikan apa yang diminta dan melepaskan dariku segala kesempitan, kesusahan dan kesengsaraan.
Ya Allah! Syafaatkanlah dia bagiku..."



وأتوسل إليك بسيدي صاحب هذا المقام سيدنا الإمام الحسين
يا سيدنا الإمام إني توجهت بك إلى ربي أن يقضي حوائجي وأن يجعلني من الناجحين في الإمتحان والدنيا والآخرة


Bermaksud:
"Dan aku juga bertawassul kepada-Mu dengan tuan maqam ini iaitu Sayyidina Al-Imam Husain,
Wahai Sayyidina Al-Imam, sesungguhnya aku meminta kepadamu kepada Tuhanku agar Dia menunaikan hajat-hajatku dan Dia jadikan aku dari kalangan mereka yang berjaya dalam peperiksaan, dunia dan akhirat."


11. Kemudian, niat serta ceritalah apa jua masalah atau kesempitan hidup serta hajat yang dicita-citakan mudah-mudahan dimakbulkan Allah. Kisah ini telah diceritakan pada artikel lepas yang berlaku kepada salah seorang anak murid Syeikh Soleh yang bernama Haji 'Aid.

12. Kemudian, bacalah Al-Fatihah sedekahkan kepada Sayyidina Husain dan kali kedua bacaan disedekahkan buat Rasulullah s.a.w dan ahli keluarga Baginda s.a.w yang mulia.

13. Jika mempunyai masa yang panjang, bolehlah duduk ditepi maqam tersebut sambil membacakan surah Yasin atau qasidah memuji Sayyidina Husain. Antara qasidah yang masyhur yang sering didengari dibaca ialah:

حَيَُ الإمام ابن الإمام أخا الإمام أبا الأئمة* الطاهرين الطيبين الكاشفين الكل غمة
Bermaksud:
"Wahai Imam (iaitu Sayyidina Husain), saudara kepada Imam (iaitu Sayyidina Hasan), putera Imam (iaitu Sayyidina 'Ali), bapa sekalian Imam-imam (iaitu anak-anak beliau termasuk 'Ali Zainal Abidin dan lain-lain) *
(Mereka semua itu) adalah suci, baik dan merupakan penyembuh setiap kedukaan."

مدد يا مولانا يا حسين * مدد يا أبا زين العابدين

Bermaksud:
"Madad wahai Maulana Husain *
Madad wahai ayahanda (Sayyidi) 'Ali Zainal 'Abidin.

14. Keluar menuju ke pintu dengan sekali lagi mengucap salam ke atas Sayyidina Husain. Di sebelah maqam Sayyidina Husain itu terdapat bilik yang menyimpan segala kesan peninggalan Rasulullah s.a.w seperti janggut, tongkat, pedang dan jubah Baginda s.a.w yang mulia. Di pintu bilik tersebut, kelihatan para pengunjung (khasnya dari kalangan warga Arab) akan mengucup pintu tersebut sebagai mengambil berkat pada bilik mulia tersebut.

15. Akhirnya melangkah keluar dengan yakin bahawa permintaan kita akan dimakbulkan oleh Allah Taala. Juga meletakkan niat dalam hati untuk berazam akan datang lagi menziarahi Sayyidina Husain di waktu lain.

يا ربي بجاه النبي وبأهل بيته الطاهرين وبسيدنا الإمام الحسين اقبل دعوتنا
"Ya Allah! Dengan kemegahan Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya dan dengan Sayyidina Al-Imam Husain terimalah doa kami..."

Rabu, 27 Mei 2009

Kemuliaan Sayyidina Husain (1): Ziarahilah Dan Jadikannya Wasilah Kita




Makam Sayyidina Al-Imam Husain r.anhu di Kaherah sentiasa dikunjungi orang pilihan Allah. Di dalam binaan tersebut dikebumikan kepala beliau yang mulia.

Dua gambar ini menunjukkan Masjid Sayyidina Husain dihiasi begitu cantik dengan kunjungan ribuan manusia pada sambutan Maulid beliau pada bulan Rabi'ul Akhir setiap tahun.

Keberadaan Makam Sayyidina Al-Imam Husain yang terletak bersebelahan dengan kampus Universiti Al-Azhar bukanlah suatu kebetulan. Tambahan pula terletak di medan yang begitu sibuk dengan kawasan pelancong yang datang dari pelbagai negara untuk membeli belah di Pasar Khan Khalili. Pasar ini tentunya amat dikenali terutama kepada pelancong yang datang dari Malaysia atau mana-mana negara. Pakej pelancongan tentu akan menyelitkan "Kunjungan ke Pasar Khan Khalili" bagi membawa pelancong membeli-belah di pasar tersebut. Kadang-kadang seakan-akan 'terlupa' hak Sayyidina Husain yang perlu diziarahi kerana beliau bukan milik bangsa Arab semata-mata tetapi milik semua umat Islam di seluruh dunia. Bukankah datuknya (Rasulullah s.a.w) merupakan utusan kepada seluruh alam? Bagaimana kita dapat melihat kesungguhan para penganut Syiah yang sering kelihatan di makam ahli keluarga Rasulullah s.a.w terutama di Sayyidina Husain datang menziarahi. Walaupun dari negara yang jauh, mereka sanggup menghabiskan wang dan masa dengan mengenakan pakaian khas, mereka datang menziarahi Sayyidina Husain. Bagaimana pula bagi kita yang sudahpun berada di sisi Sayyidina Husain? Tidak terasakah jiwa kita untuk menziarahinya?

Kawasan medan Sayyidina Husain tersebut seringkali juga menjadi tumpuan kerana masalah keselamatan. Serangan bom yang ditujukan kepada para pelancong asing, menjadikan kawasan tersebut diletakkan kawalan yang ketat oleh pihak polis. Sesiapa yang membawa beg pasti akan diperiksa oleh pihak keselamatan. Namun, percayalah sesiapa yang datang kepada Sayyidina Husain dengan niat yang ikhlas dan suci pasti sentiasa dilindungi Allah. Satu qasidah yang sering dibacakan di makam beliau iaitu:

نحن فِي سَاحَةِ الحُسينِ نَزَلْنَا * فِي حِمَى الله مَن أَتَى لِلْحُسَينَا

Bermaksud:
"Kami turun dan kini berada di kawasan Sayyidina Husain*
Dalam penjagaan Allah sesiapa yang menziarahi kerana Sayyidina Husain".


Ia bagai sesuatu yang telah ditetapkan Allah untuk menempatkan kepala Sayyidina Husain yang mulia di tempat tersebut bagi memudahkan sekalian pencintanya untuk menziarahi beliau di situ. Apatah lagi dengan adanya Masjid Al-Azhar dan unviersitinya yang terletak tidak jauh dari Masjid Sayyidina Husain, tentunya memberikan peluang kepada para penuntut ilmu agama Allah untuk mendekatkan diri dengan putera Rasulullah s.a.w itu.

Tentunya sesiapa yang pertama kali menjejakkan kaki ke kawasan Masjid Sayyidina Husain tersebut pasti akan merasa sedikit keajaiban. Masjid yang dipenuhi dengan keberkatan dan diliputi dengan kerahmatan tersebut suatu ketika dahulu sering menjadi tumpuan para ulamak dan wali Allah. Syeikh Mutawalli Syaarawi (r.anhu) sebagai contoh, seorang ulamak yang dikenali dunia, sewaktu hayatnya sering dilihat berada di masjid tersebut menziarahi Sayyidina Husain. Diceritakan sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir, kalam terakhir yang keluar dari mulut beliau, "Engkau sendiri datang menjemput aku pada hari ini wahai Sayyidina Husain!". Cinta dan kasih beliau kepada Sayyidina Husain berbalas akhirnya apabila Sayyidina Husain sendiri bersama-sama Syeikh Syaarawi ketika akhir hayatnya.

Al-Marhum Syeikh Syaarawi (kiri) dan Syeikh Ismail Sodiq Al-'Adawi merupakan antara kalangan pencinta Sayyidina Husain r.anhu.

Demikian juga kepada seorang ulamak iaitu Syeikh Ismail Sodiq Al-'Adawi, imam dan khatib di Masjid Al-Azhar ketika itu yang sering menyampaikan pengajian di dalam Masjid Sayyidina Husain.Tapi beliau enggan menggunakan pembesar suara setiap kali mengajar kerana katanya "Bagaimana aku meninggikan suara aku (menggunakan pembesar suara) sedangkan dalam masjid ini terdapat cucu Rasulullah s.a.w (iaitu Sayyidina Husain)."

Begitulah para ulamak sejak dahulu memberikan penghormatan mereka kepada Sayyidina Husain. Ringkasnya, sesiapa yang duduk beriktikaf di dalam Masjid Sayyidina Husain pasti akan dapat bertemu golongan pilihan Allah ini yang datang ke makam Sayyidina Husain. Jika mahu kenali mereka, orang Arab akan mengerumuni mereka dan mengiringi mereka ini masuk ke makam tersebut. Di dalam makam Sayyidina Husain, mereka akan membacakan madih, qasidah dan ulamak tersebut akan mengakhiri ziarah mereka dengan membacakan doa di hadapan Sayyidina Husain dengan diaminkan oleh mereka yang hadir.

Situasi ini sering kita lihat berlaku bukan sahaja di makam Sayyidina Husain akan tetapi di makam wali Allah lain seperti makam adinda Sayyidina Husain iaitu Sayyidah Zainab, Sayyidah Nafisah, Sayyidina Al-Imam Syafi'e dan lain-lain.

Berkata Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang dipetik dari kitab Pengajian Jumaat pada jilid kelima (muka surat 108), beliau menyebut:
"Siapakah Sayyidina Husain? Beliau ialah anak (cucu) Rasulullah s.a.w. Tidak ada lagi anak (cucu) Nabi di Mesir ini kecuali beliau-r.anhu."

Beliau berkata lagi seperti dalam kitab Pengajian Jumaat pada jilid pertama (muka surat 48):
"Kita menziarahi Sayyidina Husain r.anhu, dan setiap yang menziarahinya adalah kerana datuknya (Rasulullah s.a.w) yang pernah bersabda, (Husain daripadaku, manakala aku adalah dari Husain), maka beliau bukanlah seorang raja, sultan, ketua atau memiliki pengawal (yang menjaganya), sesungguhnya sekalian manusia yang datang kepadanya berduyun-duyun adalah kerana datuknya Rasulullah s.a.w semata-mata."

Syeikh Soleh menyebutkan lagi tentang kelebihan Sayyidina Husain:
"Setiap kali kita masuk ke makamnya nescaya kita akan melihat cahaya seperti matahari. " Lalu orang bertanya kepada Syeikh Soleh "Cahaya apakah itu?" Jawab Syeikh Soleh, "Cahaya dari datuknya Nabi Muhammad s.a.w.

Setiap kali kamu masuk ke makamnya, beliau akan melihat kamu dengan kehendak Allah, akan diliputi cahaya ini ke atas kamu dengan kehendak Allah, jika kamu berkata "Assalamu'alaikum" maka beliau (Sayyidina Husain) akan menjawab salam kamu dengan kelebihan dan kehendak Allah, jika kamu meminta beliau akan perkenankan dengan kelebihan dan kehendak Allah dan jika kamu bertawassul dengannya kepada Allah nescaya diberikan dengan kehendak Allah, firman Allah,

"Jangan kamu menyangka orang-orang yang mati di jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dalam keadaan diberikan rezeki..." (Surah Ali-Imran: ayat 169).

Syeikh Soleh seterusnya menyebut lagi tentang Sayyidina Husain pada pengajian Jumaat jilid kesembilan (muka surat 40):

"Aku menziarahi Sayyidina Husain, kerana dia adalah sebab aku sembuh dari penyakit, akan tetapi penyembuh sebenar adalah Allah!


Akan tetapi orang yang ingkar berkata, "Jangan kamu ziarahi para wali Allah kerana menziarahi mereka syirik!"

Kerana apa wahai saudaraku?! Sedangkan kita semua adalah orang yang mentauhidkan Allah! Adakah kerana aku pergi menziarahi Sayyidina Husain lalu aku berkata "Assalamua'laika ya ibnu binti ar-Rasul (iaitu salam sejahtera wahai anak lelaki kepada anak perempuan Rasulullah s.a.w) maka aku telah jadi syirik? Tidak..Sesekali tidak.. Kerana kita semua mengesakan Allah, wahai saudaraku."

Syeikh Soleh kemudian membawakan perumpamaan Ka'abah.
"Baitullah (Ka'abah), binaannya dari batu-batan, kamu solat menghadapnya dan kita melihat kepadanya di mana berada kita akan menghadapnya, kita sujud ke arahnya, kita menciumnya kerana apa? Kerana ia (Ka'abah) dinisbahkan kepada Allah (iaitu Baitullah) jadi kita akan mengingati Allah.

Begitu juga para wali Allah, apabila kamu menziarahi mereka kamu akan mengingati Allah, apabila mereka diingati kamu akan mengingati Allah.

Sayyidi Ahmad Badawi diberikan Allah kewalian, setiap kali kamu melihatnya (iaitu makamnya) kamu akan mengingati Allah, begitu juga Sayyidina Husain r.anhu, seorang yang mulia, 'alim, orang yang mati syahid, wali, merupakan putera kepada puteri Rasulullah s.a.w (iaitu Sayyidah Fatimah).Setiap kali kamu melihat manusia yang ramai datang menziarahinya, bertambah iman kamu kepada Allah, bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w serta cinta kepada sekalian ahli keluarganya.

Tidak sama kamu menziarahi makam Sayyidina Husain seperti kamu ziarahi makam Muhammad Ali, juga Ibrahim Basha (makam pembesar Mesir zaman dahulu yang terdapat di Mesir).

Apabila kamu menziarahinya kamu bercakap dengannya dengan bahasa orang yang hidup yang boleh mendengar dan melihat: (iaitu kamu memberi salam) Assalamualaika ya ibnu binti Nabi, syuhada' Allah ahya'an 'inda rabbihim yurzaqun.." Bermaksud "Salam sejahtera ke atas kamu wahai putera kepada puteri Rasulullah, wahai kalangan orang yang mati syahid, syuhada' Allah yang diberikan rezeki di sisi Tuhan mereka.."

Demikian petikan kalam Syeikh Soleh Jaafari tentang kemuliaan Sayyidina Husain. Tentang kalam beliau yang mengatakan "...Jika kamu meminta kepadanya nescaya dia akan berikan dengan kehendak Allah..."

Di sini ingin dikongsi bersama kisah seorang anak murid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang masih hidup hingga kini, iaitu bernama Haji 'Aid, beliau seorang yang istiqamah menghadiri pengajian Syeikh Soleh di Masjid Al-Azhar. Ketika itu Haji 'Aid telah lama berkahwin tetapi masih belum dikurniakan zuriat. Lalu beliau mengambil keputusan untuk menceritakan hal tersebut kepada gurunya, Syeikh Soleh. Selesai beliau bercerita, Syeikh Soleh berkata, "Sekarang kamu pergi ke Sayyidina Husain, kamu ceritakan kepadanya seperti kamu ceritakan kepada aku tadi.." Lalu Haji 'Aid tadi menziarahi Sayyidina Husain lalu menceritakan seperti yang diperintah oleh Syeikh Soleh tadi menggunakan bahasa seperti bercakap dengan orang hidup. Lalu Haji 'Aid menyebut dengan izin dan kehendak Allah, tidak lama selepas itu beliau dikurniakan zuriat oleh Allah dengan keberkatan Sayyidina Husain tadi.

Juga termasuk mereka yang menghadapi peperiksaan, sebelum memasuki dewan peperiksaan di Universiti Al-Azhar, maka seeloknya ziarahilah Sayyidina Husain, atau sesiapa jua di kalangan kita yang mempunyai masalah atau kesempitan hidup. Sayyidina Husain, seperti yang disebut oleh Syeikh Soleh hanyalah sebab manakala yang berkuasa sebenar adalah Allah! Itu merupakan akidah kita yang tidak perlu dipersoalkan tetapi antara kita dan Sayyidina Husain mempunyai kedudukan dan martabat yang berbeza. Antara dua darjat seperti langit dengan bumi. Dengan kelebihan yang telah disebutkan tadi, tiada nilai apa-apa kita di sisi Allah. Maka sewajarnya kedudukan Sayyidina Husain yang tinggi itu kita jadikan wasilah kepada Allah untuk menyampaikan hajat dan cita-cita kita.

Madad ya Sayyidina Husain! Madad ya Ibnan Nabi! Madad ya ibnal Imam 'Ali!


Selasa, 19 Mei 2009

Syeikh Soleh Lahirkan Rasa Cinta Kepada Rasulullah

Ustaz Ahmad Jum'ah (kanan) membacakan madih di Maulid Syeikh Soleh Jaafari bersama adiknya Ustaz Yahya Jum'ah (kiri). Semoga Allah berkati mereka.

Kulit hadapan Diwan Syeikh Soleh Jaafari r.anhu juzuk keenam, bahagian kedua dalam bab Muhammadiyyat (memuji Rasulullah s.a.w).

Dalam qasidah karangan Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu pada juzuk keenam, muka surat 57, (cetakan baru) petikan dari Diwan Syeikh Soleh Jaafari r.anhu, beliau telah menukilkan syair memuji Maulana Rasulullah s.a.w dengan katanya:

كُلَّما زُرتُ المقام * زَادَ وَجْدِهِ وَالهُيَام
فيه بدرٌ ذُو تًمَام * نُورُهُ يَجلو الظلام
فيه طه المصطفى * سَيِّدُ الرُسلِ الخِتام
Bermaksud:

"Setiap kali aku menziarahi maqam (Rasulullah s.a.w),
bertambah rasa kasih padanya dan cinta yang teramat sangat,
Padanya (iaitu maqam tersebut) terdapat bulan purnama,
cahayanya menerangi kegelapan,
Padanya (iaitu maqam tersebut) terdapat Toha Mustafa (iaitu Rasulullah s.a.w),
Penghulu dan penutup bagi sekalian Rasul."

**Al-Huyam seperti yang tertulis dalam Kamus Marbawi bermaksud: dahaga yang sangat-sangat, gila berahi.

Qasidah ini telah dialunkan dan dipopularkan oleh salah seorang Abna' dari Aswan iaitu Haji Ahmad Jum'ah yang masyhur dikalangan Abna' kerana memiliki suara yang cukup merdu melalui rakaman kaset dan VCD yang terjual di Masjid Syeikh Soleh Jaafari. Qit'ah (petikan) syair tulisan Syeikh Soleh Jaafari r.anhu di atas membayangkan betapa kasihnya beliau kepada nendanya Maulana Rasulullah s.a.w. Tidak hairan bagaimana kemuliaan yang Allah berikan kepada beliau, sepanjang hayat beliau, Syeikh Soleh telah dikurniakan menunaikan fardhu haji sebanyak 27 kali termasuk dapat menziarahi Sayyidina Rasulullah s.a.w di Madinah Al-Munawarrah.

Demikianlah tanda kasih dan sayangnya seseorang kepada Rasulullah s.a.w kerana kasih dan sayang itu bukan hanya memadai dituturkan pada bibir sahaja bahkan ia mempunyai 'alamah iaitu dalil dan mesti dibuktikan.

Syeikh Soleh menyatakan bagaimana setiap kali beliau menziarahi Baginda s.a.w semakin bertambah dan cintanya kepada Rasulullah s.a.w. Ini kerana beliau menziarahi Baginda s.a.w bersama dengan hati. Jasad dan rohnya hadir bersama-sama pada setiap kali kunjungan ziarahnya ke atas Baginda s.a.w. Demikian juga yang berlaku kepada sekalian para auliya' dan orang pilihan Allah.

Seorang wali Allah yang masyhur, Sayyidi Syeikh Khalil Khatib r.anhu (yang berasal dari Barat Mesir dan makam serta masjidnya berada di bandar Tanta) satu ketika menziarahi Maulana Rasulullah s.a.w. Ketika beliau menjejakkan kaki untuk memasuki Masjid Nabi s.a.w. beliau mengucapkan salam kepada Rasulullah s.a.w dengan katanya "Assalamualaika ya Rasulallah!". Lantas beliau berhenti beberapa ketika dan berjalan masuk. Anak muridnya bertanya kenapa beliau bertindak sedemikian? Jawab Syeikh Khalil Khatib, "Aku berhenti tadi hingga aku mendengar Rasulullah s.a.w menjawab salam lalu baru aku masuk ke masjid ini." Bagaimana beliau dapat mendengar Rasulullah s.a.w menjawab salam beliau kecuali beliau menghadirkan hati dan roh ketika menziarahi Baginda s.a.w. Dengan menghadirkan hati dan roh ketika menziarahi Baginda s.a.w, maka air mata akan mengalir tanpa disedari dengan menyatakan syukur ke hadrat Allah yang menyampaikan seseorang menziarahi semulia-mulia ciptaan Allah.

Demikian dibentangkan petikan syair Syeikh Soleh Jaafari. Kalimah yang digunakan ibarat sepasang kekasih yang sedang bercinta. Kalimah tersebut dijelmakan melalui tulisan yang berbentuk syair yang merupakan isi hati beliau yang terlalu rindukan Rasulullah s.a.w.

Memang benar sabda Baginda s.a.w:
لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

Bermaksud "Tidak (sempurna) iman seseorang dari kalangan kamu hingga aku ini dikasihinya melebihi dari kedua ibu bapanya, anak-anaknya serta manusia keseluruhannya."


Isnin, 18 Mei 2009

Taqwim Sambutan Maulid Ahlul Bait Rasulullah s.a.w di Mesir

Taqwim sambutan maulid ahlul Bait Rasulullah s.a.w di Mesir

Tarikh sambutan bagi Maulid para ahli keluarga Rasululullah s.a.w dan auliya' ini ditetapkan oleh Majlis Tertinggi Tariqat Kesufian Mesir yang telah dijadikan amalan setiap tahun.

Ahad, 17 Mei 2009

Selamat Hari Guru buat Guru Kami Semua

Dua guru murabbi, Syeikh Dr.Abdul Halim Mahmud r.anhu, syeikhul Azhar merupakan pencinta kelas pengajian Syeikh Soleh di Masjid Azhar.Beliau selalu menghadirinya.


Haji Husain Madani (kiri) dan Syeikh Sayyid Musa (kanan). Kedua-duanya pernah berkhidmat dengan Syeikh Soleh sewaktu hayatnya. Kini mereka adalah guru kami.

Dua ulamak Hadis zaman ini. Syeikh Dr.Sa'ad Gawish (kanan) dan Syeikh Dr.Yusri Jabar Al-Hasani (kiri). Semoga Allah berkati mereka. Kedua-duanya kini sibuk menyebarkan ilmu mereka kepada para pelajar dengan jadual kelas masing-masing.

Dua guru Al-Quran yang mengajar anak-anak umat Islam mengenali kalam Allah. Syeikh Nabil (kanan) mengajar di Masjid Sayyidina Husain manakala Syeikh Ashraf Hamid Hasanain (kiri) mengajar setiap pagi di makam Syeikh Soleh. Semoga Allah memuliakan mereka dengan Al-Quran. Kedua-dua mempunyai sanad Al-Quran bersambung hingga ke Maulana Rasulullah s.a.w.

Dua pensyarah Al-Azhar, anak didik Syeikh Soleh. Dari kanan ialah Dr.Atiyah, pensyarah Al-Azhar di Kuliah Usuludin Dakwah di Syibin El-Kom dan Prof.Dr.Muhammad Sayyid Sultan (kiri), pensyarah Kuliah Bahasa Arab Al-Azhar Asyut, wakil syeikh di Asyut.

Tiga anak didik Maulana Syeikh Soleh. Dari kanan Haji Abu Bakr, wakil syeikh di Aswan (banyak mengajar kitab tasawuf di masjid Aswan), Haji Khalifah, wakil syeikh di markaz Helwan (tengah) dan Haji Sa'ad (kiri). Kalam nasihat mereka cukup mengesankan jiwa.

Haji Husain, juruteknik komputer. Anak murid Syeikh yang ikhlas lagi istiqomah. Banyak mengajar kami anak-anak Malaysia untuk membacakan madih serta qasidah Syeikh Soleh. Beliau mengendalikan kelas untuk bacaan madih di masjid Syeikh.

Sempena sambutan Hari Guru yang disambut tahun ini, kami ingin mengucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya buat semua guru yang mengajar kami mengenali ilmu agama Islam dan menghargai nikmat iman selama ini. Mereka ialah guru kita apabila mengajar kita kebaikan walaupun sebesar zarah. Memetik kalam Saidina Al-Imam 'Ali bin Abi Talib, ra.nhu wa a.salam "Seseorang itu adalah guru kamu walaupun mengajar satu huruf.."

Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu pernah menyebut, "Diharuskan untuk mencium tangan kepada tiga golongan berikut:

Pertama: Kedua-dua ibu bapa kita
Kedua: Ulamak yang beramal dengan ilmu mereka (ulamak al-'amilin)
Ketiga : Keturunan Rasulullah s.a.w walaupun dia masih kecil."

Para ulamak yang beramal dengan ilmunya adalah tanda keikhlasan mereka mendidik umat walaupun tanpa memikirkan habuan dunia. Berbekalkan iklas serta istiqomah ini menjadikan mereka ulamak yang mukhlisin yang berjuang menyebarkan Islam semata-mata mencari redha Allah. Sewajarnya mereka ini dihargai pada sambutan sebegini mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan mereka itu. Jika tidakpun, mencintai serta menyayangi mereka sudahpun merupakan nikmat yang agung.

Kita patut merasa terhutang budi terhadap pengorbanan mereka ini. Pengorbanan mereka tentunya tidak dapat dibalas walaupun dengan harta benda apatah lagi dengan sebarang ucapan atau kalam. Sekadar mampu berdoa kepada Allah agar mereka semua dilimpahkan nikmat serta rahmat dari Allah serta mengharapkan hanya Dia yang membalas jasa mereka.

Nikmat yang dikurniakan oleh Allah dengan usaha mereka ini ialah nikmat "mahabbah" iaitu kasih dan sayang. Antara mereka yang banyak mengajar kami erti kasih sayang ini ialah Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu. Walaupun tidak sempat sezaman dengan beliau, namun atas kehendak Allah kami dipertemukan dengan anakandanya iaitu Syeikh Abdul Ghani. Atas kehendak-Nya lagi, kami dipertemukan dengan anak-anak murid Syeikh Soleh yang masih hidup yang berada di serata Mesir, menyebarkan Islam dan dakwah mengikut manhaj yang diajar oleh syeikh mereka. Melalui kalam nasihat mereka ini, banyak yang telah kami jadikan panduan meniti hidup ini.

Syeikh Soleh Jaafari telah banyak mengajar kepada anak didiknya yang telah mendahului kami. Selama 50 tahun beliau berada dan tinggal di dalam Masjid Al-Azhar. Beliau tidak keluar dari tempat khalwatnya kecuali untuk menunaikan fardhu haji atau menziarahi makam Ahlul Bait Rasulullah s.a.w.

Setelah kewafatannya, beliau telah menyediakan wasiat serta bekalan yang mencukupi buat generasi yang datang kemudiannya. Kalam ucapan beliau di kuliah setiap kali Jumaat dibukukan hingga menjadi 10 jilid seperti hari ini. Begitu juga dengan lembaian kertas yang dijumpai oleh seorang anak muridnya setelah kewafatannya. Lembaian tersebut mengandungi kalam nasihat berbentuk syair atau qasidah yang dikarang oleh beliau sepanjang hidupnya lalu dibukukan menjadi 12 jilid seperti yang dilihat hari ini. Dalam qasidah-qasidah tersebut, beliau banyak memberikan kata-kata semangat agar mencintai Allah dan Rasul-Nya. Bahkan banyak dari qasidahnya yang menggalakkan untuk menziarahi Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga Baginda s.a.w.

Kerana beliau dan para ulamak ini, kita dapat mengenali Ahli keluarga Baginda s.a.w yang menjadi kewajipan bagi anak-anak umat Islam mengenali mereka berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. "Ajarlah anak-anak kamu dengan mencintai Nabi kamu, mencintai ahli keluarganya serta membaca Al-Quran.." Dalam Burdah Al-Hasaniyyah dan Husainiyyah beliau menyebut;

فما عليك جناح إن شغلت بهم * فحبهم نعمة من أعظم النعم
Bermaksud, "Tidaklah berdosa bagi kamu menyibukkan diri (mengingati) mereka (iaitu ahli keluarga Rasulullah s.a.w),
Ini kerana mencintai mereka (ahli keluarga Rasulullah s.a.w) merupakan sebesar-besar nikmat.."

Terima kasih buat semua guru-guru kami yang telah banyak menunjukkan kami ke jalan redha Allah. Kalau tidak kerana kalian, tidak kami mengenali Islam dan Iman, tidak kami mengenali Allah dan Rasul-Nya..

Buat guru serta pendidik roh kami, Maulana Syeikh Soleh Jaafari, anakandanya Syeikh Abdul Ghani, pewaris-pewarisnya Sayyidi Muhammad Soleh, Sayyidi Husain dan Sayyidi Hasan. Tidak lupa buat anak didik mereka yang juga murabi kami iaitu Syeikh Ashraf Hamid Hasanain, Syeikh Dr.Atiyah Mustafa Husain (imam dan khatib Masjid Syeikh Soleh), Prof. Dr. Muhammad Sayyid Sultan (profesor Jabatan Balaghah, Kuliah Bahasa Arab Al-Azhar cawangan Asyut yang juga wakil syeikh di markaz Jaafari di Bani 'Adi, Asyut), Syeikh Nabil (guru Al-Quran), tidak lupa anak-anak didik Syeikh Soleh iaitu Syeikh Haji Abu Bakr (wakil syeikh bagi markaz Jaafari di Jabal Taquq, Aswan), Haji Sa'ad, Haji Khalifah (wakil syeikh bagi markaz Jaafari di Helwan), Haji Sayyid Musa (khadam Syeikh Soleh sewaktu hayat beliau) serta semua guru dan para masyayeikh kita yang mengajar sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya tentang kebaikan dan Islam.

Gambar guru serta syeikh yang dimasukkan di atas hanyalah beberapa butir bintang dari jutaan bintang yang berkerlipan menyinari alam ini. Selain mereka, tentunya ramai lagi para ulamak dari kalangan guru-guru kita yang tidak dapat disebutkan satu persatu di sini. Semoga Allah merahmati mereka semua.

Buat mereka sekalung Al-Fatihah..

Jumaat, 15 Mei 2009

Sejarah Burdah Al-Hasaniyyah wal Husainiyyah

Kulit hadapan bagi Burdah Al-Hasaniyyah wal Husainiyyah karangan Maulana Syeikh Soleh.

Mukadimah Burdah seperti Burdah Al-Imam Busairi yang dimulakan dengan "Maulaya solli wasallim daiman abadan 'ala habibika khairil khalqi kullihimi."

Antara karangan qasidah Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang masyhur ialah Burdah Al-Hasaniyyah wal Husainiyyah (burdah yang dinisbahkan kepada nama Sayyidina Al-Imam Hasan dan Husain r.anhuma).

Menurut Syeikh Ashraf Hamid Hasanain, ketua sekretariat bagi Maktabah Jawami'ul Kalim, sewaktu awal usia 15 tahun, Syeikh Soleh Jaafari melihat ayahnya, Syeikh Muhammad membaca Burdah Al-Imam Al-Busairi r.anhu. Lalu Syeikh Soleh bertanya ayahandanya, apakah yang sedang dibacanya. Jawab ayahandanya itu ialah burdah Al-Busairi. Lalu ayahandanya meneruskan kalam, "Kelak, aku mahu kau buat burdah seperti ini."

Lalu setelah beliau datang dan meneruskan pengajian dalam Kuliah Syariah Islamiyah, Al-Azhar, beliau telah diilhamkan oleh Allah menulis qasidah yang memuji ahli keluarga Rasulullah s.a.w terutama Sayyidina Husain r.anhu. Pada awalnya beliau hanya memuji Sayyidina Al-Imam Husain sahaja hingga satu malam, beliau bermimpi bertemu dengan Sayyidina Husain, lalu berkata, "Wahai Soleh! Kamu memuji aku dalam qasidah kamu tapi kamu tinggalkan abangku, Hasan?" Lalu beliau menulis kembali dengan memuji kedua-dua cucunda kesayangan Maulana Rasulullah s.a.w itu.

Burdah ini mempunyai 198 bait yang dipecahkan kepada 10 fasal. Pada mukadimah burdah tersebut, Syeikh Soleh menyebut bahawa setelah siap 198 bait qasidah berkenaan, beliau bermimpi bertemu dengan Sayyidina Al-Imam Husain yang memerintah kepada beliau untuk mencetak budah tersebut. Hasil keikhlasannya, burdah tersebut dibaca seperti burdah Al-Imam Busairi dari segi taqtik syair. Jika Al-Imam Busairi, beliau memulakan burdahnya dengan :

"Maulaya Solli wasallim daiman abadan, 'ala habibika khairil khalqi kullihimi" dan
"Amin tazakkuri jiranin bizi salami.."


Maulana Syeikh Soleh mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan nendanya Sayyidina Al-Imam Husain. Beliau pernah menyebut, "Jika tidak kerana Sayyidina Husain, aku tidak akan menetap di Mesir."

Syeikh Dr.Atiyah Mustafa Husain, imam dan khatib Masjid Syeikh Soleh di Darrasah ketika sambutan Maulid Sayyidina Husain yang lalu menceritakan satu kisah. Ia berlaku ketika Syeikh Soleh menziarahi Ketua Qadhi bagi Negara Sudan. Beliau membawa bersama anakandanya Syeikh Abdul Ghani yang masih muda ketika itu. Kata Ketua Qadhi tersebut kepada Syeikh Soleh, "Di Mesir, sudah ramai para ulamak dan wali Allah. Apa kata kamu, jika kamu kembali menetap di Sudan dan aku akan berikan kamu jawatan qadhi. Kamu boleh memberikan fatwa berdasarkan ilmu yang kamu ada."

Kata Syeikh Abdul Ghani yang menceritakan kembali peristiwa tersebut, ayahandanya Syeikh Soleh hanya menjawab sepatah kepada ketua Qadhi tersebut iaitu "Sayyidina Husain." Bermaksud Syeikh Soleh tidak dapat kembali ke Sudan dan menerima tawaran ketua qadhi tersebut kerana di Mesir ini terdapat Sayyidina Al-Imam Husain ra.nhu wa 'alaihis salam.

Semoga Allah berkati kita semua dengan keberkatan dari Sayyidina Al-Imam Husain ra.nhu.

Sifat Istiqamah Anak Didik Syeikh Soleh

Haji Husain Madani (kanan) di rehlah Niliyyah di Aswan tahun 2008.

Gambar diambil sewaktu pengajian Jumaat Syeikh Soleh. Haji Husain Madani duduk berhampiran Syeikh (kiri sekali).

Sifat istiqamah Haji Husain Madani hingga kini. (Beliau duduk di sebelah kanan Syeikh).

Haji Husain Madani bersama Syeikh Soleh. Beliau berdiri sebelah kanan Syeikh Soleh.

Gambar-gambar ini menerangkan perihal salah seorang anak murid Syeikh Soleh Jaafari yang bernama Haji Husain Madani. Beliau sempat bersama menuntut ilmu sewaktu hayat syeikh bahkan melazimi pengajian Jumaat Syeikh Soleh yang diadakan setiap lepas solat Jumaat di Masjid Al-Azhar hingga beliau merupakan anak murid yang multazim (melazimi) pengajian tersebut. Beliau akan duduk berdamping dengan Syeikh Soleh sewaktu pengajian. Setelah kewafatan Syeikh Soleh, beliau bersama-sama teman yang lain bersama pula dengan pewaris Syeikh Soleh iaitu Syeikh Abdul Ghani hingga waktu ini. Syeikh Abdul Ghani amat menghormati beliau kerana sifat istiqamah menghadiri majlis hadrah walaupun usia yang telah lanjut. Kebelakangan ini beliau sering uzur akibat sakit yang menimpa. Semoga Allah menyembuhkan beliau dan melanjutkan usianya. Al-Fatihah..

Rabu, 13 Mei 2009

Selawat Hilang Penyakit Lupa

Bagi menghilangkan penyakit lupa dari diri, Syeikh Soleh telah mengajar satu selawat kepada kita. Selawat ini diajar oleh Sayyidi Muhammad As-Syarif kepada Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu sepertimana yang diriwayatkan dari penyusunnya iaitu Maulana Sayyidi Ahmad bin Idris. Selawat ini bagi menghilangkan sifat pelupa dari diri seseorang. Sewaktu membacanya, letakkan tangan atas kepala sambil membaca selawat ini hingga selesai. Demikian yang diajar oleh Maulana Syeikh Soleh Jaafari. Lafaz selawat tersebut ialah:

اللهم صل وسلم وبارك على مولانا محمد النور المذهب للنسيان بنوره وعلى ءاله في كل لمحة ونفس عدد ما وسعه علمك آمين

Bermaksud: "Ya Allah! Selawat serta salam dan berkatilah Nabi Muhammad yang mana cahayanya menghilangkan sifat pelupa serta demikian juga ke atas ahli keluarganya pada setiap kelipan dan hembusan nafas serta seluas mana ilmu Engkau Amin."

Syeikh Soleh Berselawat 2,000 Kali Sebelum Tidur


Kecintaan Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu kepada Maulana Rasulullah s.a.w amat menebal dalam sanubari serta jiwa beliau. Ini dapat dibuktikan melalui qasidah berbentuk pujian kepada Rasulullah s.a.w yang dijilidkan menjadi 12 juzuk yang boleh didapati di Maktabah Jawami'ul Kalim. Bagi penuntut ilmu, anda akan mendapat tawaran dengan harga yang amat murah.

Diriwayatkan Syeikh Soleh Jaafari r.anhu tidak akan tidur pada waktu malam kecuali setelah berselawat ke atas Rasulullah s.a.w sebanyak 2,000 (dua ribu kali) dengan selawat 'Azimiyah! Seperti yang kita maklum selawat 'Azimiyah oleh Sayyidi Ahmad bin Idris merupakan selawat yang agak panjang. Tetapi kerana kecintaan kepada Rasulullah, Syeikh Soleh dimudahkan oleh Allah bagi berselawat 2,000 kali. Itu bilangan beliau sebelum melelapkan mata, bukan pada waktu biasa. Ingatannya kepada Rasulullah s.a.w tidak pernah lekang dari jiwa serta ingatan beliau. Bahkan setiap hembusan nafas dan kerlipan mata, beliau mengingati Baginda s.a.w.

Tidak hairanlah, seperti yang diceritakan kepada kami oleh Prof.Dr.Atiyah Mustafa Husain, pensyarah Universiti Al-Azhar dalam Kuliah Usuludin Dakwah, bagaimana salah seorang anak murid Syeikh Soleh telah bermimpi bertemu Maulana Rasulullah s.a.w. Beliau bertanya kepada Rasulullah tentang gurunya, Syeikh Soleh. Jawab Rasulullah, "Radhiyallau 'anhu (Rasulullah mendoakan semoga Allah meredhainya). Sesungguhnya dia (Syeikh Soleh) amat banyak mengingati daku."

Wasiat Syeikh Soleh Bagi Penuntut Ilmu

Haji Sa'ad (kanan) bersama Syeikh Dr.Atiyah Mustafa (kiri) pada rehlah Sungai Nil sempena Maulid Syeikh Soleh di Aswan.


Kenangan bersama Haji Sa'ad, anak murid Syeikh Soleh di markaz besar tariqat di Aswan, akhir Januari 2008. Semoga Allah memeliharanya.


Di saat peperiksaan yang bakal menjelang, saya teringat kepada kalam nasihat dari seorang anak murid Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang dikenali dengan Haji Sa'ad. Kami mengenalinya sewaktu rehlah kami bagi menghadiri Maulid Syeikh Soleh di muhafazah Aswan, akhir Januari tahun lalu, 2008. Bilangan kami seramai 15 orang dari Abna' Malaysia bersama-sama dengan abna' warga Arab yang lain. Setibanya kami di Markaz Besar bagi Tariqat Jaafariyah di muhafazah Aswan (yang terletak di Jalan 'Abbas 'Aqqad, bandar Aswan) pada petang Khamis, kami dihidangkan dengan makan tengah hari. Selesai makan, sementara menunggu waktu Maghrib, seorang tua yang berjubah, berserban serta bertongkat ditangan-yang kami tidak kenali mendekati kami. Kami dimaklumkan beliau ialah Haji Sa'ad, anak murid Syeikh Soleh Jaafari. Suaranya amat menyamai suara Syeikh Soleh ketika menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar seperti yang kami dengari melalui VCD yang dijual. Kami juga diberitahu, beliau merupakan bekas peguam manakala anak-anaknya kini semuanya peguam yang berjaya. Beliau merupakan graduan dari Kuliah Undang-Undang Universiti Al-Azhar.

Sewaktu menuntut di universiti tersebut di Kaherah, beliau banyak menghabiskan masa dengan berdamping bersama Syeikh Soleh. Beliau berpesan kepada kami seperti yang pernah diwasiatkan oleh gurunya Maulana Syeikh Soleh yang saya ringkaskan kepada beberapa rumusan:

-Pelajari serta kuasailah ilmu Fekah serta berkaitan dengan Syariat Islam kerana ilmu berkaitan tasawuf atau hakikat itu merupakan fuyudhat (limpahan atau kurniaan Allah). Maksud beliau, jangan hanya menumpukan kepada ilmu tasawuf dengan mengenepikan terus ilmu Syariat.

-Berdoalah kepada saudara kamu dibelakangnya (sewaktu ketiadaannya) seperti mana kamu mendoakannya dihadapannya. Itu merupakan tanda keikhlasan kamu bersahabat dengan seseorang.

-Apabila seseorang berbudi kepada kamu, lalu kamu tidak dapat membalas budi tersebut, maka ucapkanlah baginya Jazakumullahu 'anna khairal jaza' (bermaksud: Semoga Allah membalas dari kami kepada kamu dengan sebaik-baik pembalasan). Kata Syeikh Soleh, jangan ucapkan Syukran kerana kedua-dua kalimat tersebut berbeza dari segi makna. Syukran hanyalah ucapan terima kasih sementara jazakumullah merupakan lafaz doa yang terlebih baik digunakan.

-Beliau turut berpesan dan mewasiatkan dengan taqwa sepertimana yang sering diijadikan wasiat oleh para anbiya' serta solihin sejak dahulu kala apabila diminta nasihat. Beliau membacakan sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud, "Bertakwalah kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu.." Inilah juga yang diamalkan oleh Maulana Syeikh Soleh. Dengan sifat takwa, beliau diajar oleh Allah dari ilmu lain yang tidak diketahui bahkan setiap soalan yang dikemukakan selepas pengajian, beliau menjawabnya dengan penuh yakin. Beliau turut memetik sepotong hadis Rasulullah s.a.w, "Sesiapa yang beramal dengan apa yang dia tahu nescaya Allah akan memberikan kepadanya dari apa-apa ilmu yang dia tidak tahu."

-Sewaktu menuntut dengan Syeikh Soleh, Syeikh Soleh telah menyebut kepada beliau yang ketika itu masih bergelar pelajar. "Wirid harian bagi kamu para pelajar ialah muzakarah ilmu..." Ini bermakna Syeikh Soleh tidak mahu para pelajar menyibukkan dengan urusan tariqat atau selainnya hingga mengganggu pengajian.

Teringat kalam ini pernah diungkapkan oleh Haji Abu Bakar, juga anak murid kepada Maulana Syeikh Soleh sewaktu kunjungan kami bagi kali ketiga ke Aswan, awal Februari tahun ini (2009). Beliau menyatakan bahawa Syeikh Soleh tidak akan memberikan tariqat kepada seseorang yang masih bergelar pelajar. Jika sudah selesai belajar, beliau tidak akan memberikan tariqat sehingga seseorang itu berkahwin. Hanya di akhir usia Syeikh Soleh dan sewaktu pentadbiran Syeikh Abdul Ghani, sekarang syarat-syarat tadi tidak digunapakai. Sesiapa jua layak untuk mengambil tariqat tanpa halangan.

Maka tidak hairanlah, Haji Abu Bakar menceritakan kepada kami, sesiapa yang ingin mengambil tariqat dari Syeikh Soleh, beliau tidak akan mudah-mudah memberikannya kecuali setelah beliau melakukan solat sunat istikharah. Hanya setelah diizinkan oleh Maulana Rasulullah s.a.w sama ada melalui mimpi atau yaqazah (jaga) maka baru beliau akan menyempurnakan hajatnya. Ini bermakna sesiapa yang telah mengambil tariqat dari tangan Syeikh Soleh sendiri sewaktu hayatnya, maka dia telah mendapatkan keizinan dari Maulana Rasulullah s.a.w. sendiri.

Ini dikuatkan cerita yang disampaikan oleh Prof.Dr.Muhammad Sayyid Sultan, pensyarah Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar cawangan Asyut yang juga wakil syeikh di Bani 'Adi, Asyut yang menyebut tidak hairan anak-anak murid Syeikh Soleh sudah dikurniakan keramat dari Allah,antara mereka hanya dengan membaca Al-Fatihah lalu terbuka anak kunci pintu.


Salam Mahabah Dari Kami Abna' Malaysia



Kenangan selepas berba'iah tahun 2006

Salam mawaddah dan mahabah dihulurkan dari kami Abna' Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu cawangan Malaysia di Mesir. Kesuluruhan kami dengan izin Allah serta taufik-Nya telah berbai'ah dengan guru serta murabbi kami, Sayyidi Syeikh Abdul Ghani Soleh Jaafari selepas majlis hadrah hari Khamis, dalam bulan Rabi'ul Awwal tahun 2006 masihi. Majlis yang penuh bersejarah itu turut disaksikan oleh sekalian abna' syeikh dari warga Arab yang lain. Kami telah meletakkan tangan kami atas tangan Syeikh Abdul Ghani serta kami ditalkinkan dengan kalimah "Lailaha illallah, Muhammadur Rasulullah, Fi Kulli Lamhatin Wa Nafasin 'Adada Ma Wasi'ahu 'Ilmullah" iaitu kalimah asas dalam tariqat seperti yang diwarisi oleh ayahandanya, Syeikh Soleh Jaafari yang seperti yang diambil dari Maulana Sayyidi Ahmad bin Idris r.anhu seperti yang ditalkinkan kepadanya oleh Maulana Rasulullah s.a.w.

Kemudian bai'ah kami disusuli dengan ayat berikut dalam bahasa Arab:

" Kami meredhai Tariqat Jaafariyah Ahmadiyah Muhammadiyah sebagai tariqat kami, kami juga meredhai Syeikh Soleh Jaafari sebagai syeikh kami, kami berjanji akan melazimi wiridnya, selawatnya serta menghadiri hadhrah pada setiap hari Ahad dan Khamis. Semoga Allah memudahkan kami kepada demikian itu. Al-fatihah.."

Bermula saat itu secara rasmi jadilah kami sebagai Abna' Syeikh Soleh yang mengikuti manhaj Syeikh Soleh menuju kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sejak itu juga telah ramai dari kalangan orang yang mencintai ulamak (muhibbin) telah mengunjungi serta mengambil berkat dari Syeikh Abdul Ghani di masjid ayahandanya di Darrasah. Sesiapa yang ingin menziarahinya, boleh dapatkan Syeikh Abdul Ghani pada setiap lima waktu solat berjemaah. Beliau pasti akan keluar untuk solat berjemaah walaupun terpaksa dipapah oleh pembantunya. Namun, hanya beberapa bulan kebelakangan ini, kerana keuzuran yang menimpa, doktor telah menasihati beliau untuk tidak banyak bergerak kerana sakit yang dihadapinya. Oleh itu, beliau tidak dapat lagi keluar solat berjemaah di masjid. Kehadiran beliau hanya untuk solat Jumaat serta menghadiri majlis hadrah pada hari Ahad dan Khamis selepas maghrib.

Semoga Allah mengurniakan kasih dan sayang kepada mereka, para ulamak serta wali-wali-Nya di dalam hati kita semua. Amin.

Dari kalangan pencinta ulamak, bergambar bersama Syeikh Abdul Ghani.

Bergambar bersama Sayyidi Abdul Ghani di markaz Jaafari di Luxor tahun 2007.

Selasa, 12 Mei 2009

Syeikh Soleh Asyik Dengan Penciptanya


Syeikh Soleh Jaafari r.anhu dikurniakan mengingati Allah di mana jua keadaan dan masa. Cintanya kepada Allah mengatasi segala-galanya kerana dengan ilmunya beliau mengenali Allah, Tuhan dan penciptanya. Seorang anak murid beliau iaitu Syeikh Abu Bakar atau yang dikenali dengan Haji Abu Bakar, yang kami temui beliau sewaktu rehlah kami ke Aswan. Beliau menceritakan sewaktu Syeikh Soleh berada di Masjid Al-Azhar, isteri beliau datang dari Sudan semata-mata menziarahi suaminya tercinta. Setelah sebulan berada di Mesir, akhirnya isterinya pulang tetapi tidak dapat menemui Syeikh Soleh yang sibuk berkhalwat di Masjid Al-Azhar. Setelah isterinya pulang ke Sudan, seorang anak muridnya memberitahu Syeikh Soleh tentang kepulangannya ke Sudan, lalu Syeikh Soleh terkejut, "Apa?Isteriku ada datang ke Mesir. Bila dia pulang?" Jawab khadamnya isterinya sudah sebulan di Mesir dan telah selamat pulang. Haji Abu Bakar menyebut Syeikh Soleh begitu asyik hubungannya dengan Allah hingga isterinya pun tak disedarinya.

Lalu Haji Abu Bakar yang terkenal dengan ahli sufi di Aswan itu menceritakan kisah sedemikian pernah berlaku kepada Maulana Rasulullah s.a.w seperti yang diriwayatkan oleh Sayyidi Ahmad bin Idris r.anhu dalam kitabnya bertajuk "Al-Muntaqa Al-Nafis 'Fi Manaqib Qutub Dairatu Taqdis Sayyidi Ahmad ibni Idris". Satu ketika Maulana Rasulullah s.a.w sedang berzikir dalam rumahnya, tiba-tiba masuk Sayyidatina 'Aisyah r.anha isteri Baginda s.a.w. Lalu Baginda bertanya, "Siapakah itu?" Jawab 'Aisyah, "Aisyah." Tiba-tiba Rasulullah meneruskan pertanyaan seperti beliau tidak pernah mengenalinya. "Siapa 'Aisyah?" Jawab Aisyah "Anak Abu Bakar." Tanya Baginda s.a.w lagi, "Siapa Abu Bakar?" Jawab Aisyah, "Sahabat kepada Muhammad." Lalu Baginda bertanya, "Siapakah Muhammad?" Bila sampai disitu, Sayyidatina Aisyah berhenti dari meneruskan jawapan dan mengetahui keadaan Maulana Rasulullah s.a.w ketika itu yang asyik dengan Allah hingga lupa kepada makhluk lain termasuk diri Baginda s.a.w sendiri. Al-fatihah kepada Syeikh Soleh..

Jumaat, 8 Mei 2009

Kalam Sidi Husain


Semalam sewaktu majlis hadrah (majlis zikir) di Masjid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu, di akhir majlis Sayyidi Husain, ketua pemuda bagi Tariqat Jaafariyah (Raid Syabab) berucap. Ucapan beliau selalu dinanti-nanti oleh orang ramai kerana sesuatu yang ingin disampaikan kekadang berkaitan dengan ayahandanya, Syeikh Abdul Ghani. Beliau menukilkan kalam ayahandanya Syeikh Abdul Ghani. Antaranya menurut beliau Syeikh Abdul Ghani pernah menyebut majlis hadrah pada Ahad dan Khamis itu sebagai Asrar (rahsia-rahsia) dan diumpamakan ia sebagai lautan yang luas. Oleh itu, mereka yang hadir dalam majlis itu, hendaklah memiliki tiga syarat berikut:

Pertama: Ikhlas

Kedua: Wala'

Ketiga: Taat

Bagi yang dimaksudkan dengan ikhlas dalam hati hendaklah semata-mata kerana Allah iaitu bagi mengingati Allah dan madih (pujian) kepada Rasulullah s.a.w. Tiada dalam hati sama ada riak atau sum'ah atau penyakit hati yang lain. Adapun wala'dan taat itu hendaklah kepada syeikh. Beliau sudahi ucapan dengan kata .. "Fahani allakum bi hazal imam wa hazal imam…" Iaitu "Bebahagialah kamu dengan imam ini (sambil jari telunjuk ditujukan kepada maqam Syeikh Soleh) dan imam ini (ditunjukkan kepada ayahandanya Syeikh Abdul Ghani yang duduk atas kerusi sebelahnya).

Kalam seperti di atas selalu diulanginya bahkan beberapa kali sebelum ini. Beliau sering menekankan keikhlasan dalam menghadiri hadrah.Beliau pernah menegur mereka yang hadir kerana sibuk menjawab telefon atau sibuk dengan urusan dunia yang lain. Sedangkan seperti yang kit abaca dalam wasiat Syeikh Soleh beliau menyebut sewaktu seseorang mengangkat bai'ah itu hendaklah meyakini ia turut dihadiri oleh beliau sendiri walaupun selepas kewafatannya. Sudah tentu majlis yang dirahmati Allah, tiba-tiba masih menyibukkan diri dengan dunia. Tambahan dengan bilangan pengikut yang makin bertambah, tentunya mereka yang masuk tariqat ini dengan pelbagai niat yang hanya Allah yang Maha Mengetahui.