Rabu, 24 Jun 2009

MALAM PENUTUP SAMBUTAN MAULID

Maulid Syeikh Soleh Berada Di Gerbang Akhir

Malam esok, Khamis merupakan malam kemuncak dan penutup kepada sambutan Maulid Syeikh Soleh setiap tahun. Seperti malam tadi, sambutan malam esok dijangka akan disiarkan secara langsung melalui www.algafaary.com.

Malam esok sambutan akan bermula dengan solat maghrib dan akan berlarutan hingga menjelang waktu Subuh.

Abna' Jaafari Dari Pelbagai Kerjaya

Berikut ialah antara golongan profesional dari kalangan Abna' Jaafari. Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan peladang, kerja kampung atau kalangan ulamak, bahkan terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya. Ini menunjukkan mereka juga berjaya dalam kehidupan dan tidak pernah meminggirkan kehidupan dunia walaupun bergelar "Abna As-Sufi".



Haji Hamudah Bakhit: Pembaca madih yang paling popular. Memiliki suara yang amat merdu. Bertugas sebagai penyelam laut dalam di Aswan. Kelebihan yang ada padanya beliau memiliki nafas yang panjang.
Haji Bakri: Seorang inspektor polis yang berasal dari Kampung Bani 'Adi, Asyut.
Kapten Dahab: Beliau merupakan juruterbang yang bertugas di Aswan. Merupakan anak murid Syeikh Soleh dan dilantik wakil syeikh bagi Mahmudiyah, Aswan.
Sabir Abdullah Musa: Pemilik dan pengurus Kafe di "Jazirah An-Nabatat" Aswan.
Fathi: Pembaca madih yang masyhur. Bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat di bandar Aswan.
Namanya Ahmad Muhammad tapi lebih dikenali dengan "Mido". Juga pembaca madih yang disukai oleh Syeikh Abdul Ghani. Bekerja sebagai pemandu pelancong di Aswan.

Maulid Syeikh Soleh Pada Hari Keempat

Kelihatan Sayyidi Muhammad Soleh dan Sayyidi Husain menikmati jamuan ringan di "Jazirah An-Nabatat" Aswan milik Abna' Jaafari Aswan pada sambutan Maulid Syeikh di Aswan tahun 2007. Di Jazirah An-Nabatat ini memberikan keuntungan yang lumayan sebagai sumber rezeki mereka.
Bot di Sungai Nil di Aswan yang dimiliki oleh Abna' Jaafari.Para pelancong dari pelbagai negara akan menyewa bot ini bagi menikmati keindahan Aswan.

Maulid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu malam ini (Hari Rabu) menandakan yang ia sudahpun hampir berada di penghujungnya iaitu malam esok. Kehadiran malam ini lebih ramai berbanding hari-hari sebelum ini. Kedatangan pencinta dan anak-anak murid Syeikh Soleh dari pelusuk tempat dan negara seakan-akan masjidnya luas itu tidak mampu menampung kehadiran yang begitu ramai. Pihak urusetia dan keselamatan terpaksa bekerja keras bagi memastikan majlis berjalan lancar. Juga hiasan lampu warna-warni sudahpun meliputi bahagian kubah dan dua menara Masjid Syeikh Soleh. Malam ini juga makin ramai pembaca madaih terutama dari Aswan mempersembahkan madih masing-masing tarmasuk pembaca madih 'paling popular' dari Aswan iaitu Haji Ahmad Jumaah.

Malam ini juga diadakan siaran secara langsung melalui laman web rasmi Tariqat Jaafariyah sepertimana yang diumumkan oleh Naib 'Umum Tariqat, Sayyidi Muhammad Soleh di penghujung majlis. Mereka yang berada di luar Mesir boleh melihat secara langsung maulid yang berlangsung melalui www.algafaary.com. Malam terakhir esok, Khamis dijangka akan disiarkan juga secara langsung melalui web tersebut.

Sementara itu, pada majlis ucapan, salah seorang Abna' Syeikh dari aswan, Ustaz Hamad yang juga imam dan masjid Syeikh Soleh di Aswan berkata, sesuatu dakwaan yang tidak benar bagi mereka yang mengatakan sufi menolak nuntuk mencari rezeki bahkan hanya menyerahkan rezeki kepada Allah tanpa usaha. Sambil menolak keras dakwaan tersebut, beliau mengatakan bahawa berusaha mencari rezeki yang halal itu merupakan galakan dalam Islam. Bahkan ramai di kalangan para Anbiya' dan Rasul sebelum ini yang bekerja tanpa meninggalkan kerja dakwah mengajak menusia menyembah Allah. Antaranya Nabi Idris bekerja tukang jahit, Nabi Ibrahim seorang peladang, Nabi Daud tukang besi, Nabi Nuh seorang tukang kayu manakala Nabi Muhammad s.a.w pula pernah bekerja sebagai pengembala kambing dan juga peniaga.

Beliau kemudian membawa contoh ramai dikalangan Abna' Jaafari di serata dunia bekerja. Katanya, "Ada di kalangan kita bekerja sebagai pensyarah, jurutera, juruterbang, peniaga, tukang kayu, guru, penyelam laut dalam dan lain-lain." Memang benar hakikat yang dilihat dalam keluarga Jaafariyah sendiri. Dengan pelbagai latarbelakang pendidikan dan bidang pekerjaan, mereka tidak pernah lupakan tanggungjawab terhadap syeikh dan akan datang berkumpul sewaktu majlis maulid walaupun sibuk. Di Aswan sendiri ramai Abna' Jaafari yang bekerja dalam sekotor pelancongan. Mereka membuka perusahaan barangan dan produk pelancongan dan membawa pelancong menyelusuri Sungai Nil dengan bot. Sesetengah mereka pula mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris. Di tengah Sungai Nil tersebut terdapat sebuah pulau kecil yang sering menjadi tempat persinggahan bagi pelancong yang menyelusuri Sungai Nil di Aswan. Pulau itu dikenali dengan "Al-Jazirah An-Nabatat". Pengurus kafe serta restoran di pulau tersebut adalah dari Abna' Jaafari dan pekerja di situ juga adalah dari Abna' Jaafari.

Bahkan kesemua anak-anak Syeikh Abdul Ghani iaitu Sayyidi Muhammad Soleh, Sayyidi Husain dan Hasan bekerja sendiri dengan menceburi bidang perniagaan hingga menjadi tokoh korprat yang berjaya.

Ahad, 21 Jun 2009

Malam Pertama Maulid Syeikh Soleh 1430

إنا نحبك يا سيدي الحسينSayyidi Husain Al-Jaafari Ibn Sayyidi Abdul Ghani

Malam pertama sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu tadi bermula dengan penuh gilang-gemilang. Walaupun masih ramai dari kalangan Abna' Syeikh terutama dari Aswan dan muhafazah yang jauh belum tiba, namun majlis pada malam pembukaan tetap berjalan lancar. Kelihatan hanya tetamu dari Sudan yang kebanyakan terdiri dari kaum keluarga Syeikh Soleh. Tetamu dari muhafazah Aswan, Luxor dan Asyut masih belum kelihatan. Mungkin mereka akan tiba sehari dia lagi. Yang penting mereka akan memeriahkan malam penutup yang akan berlangsung malam Jumaat ini. Majlis bermula sebaik sahaja selesai solat maghrib dengan dikhatamkan bacaan Al-Quran 30 juzuk.

Dalam majlis tadi, Raid Syabab Tariqat, Sayyidi Husain ibn Sayyidi Abdul Ghani mengambil peluang berucap. Kata-katanya mampu menarik hadirin terutama beliau memulakan ucapan dengan bacaan syair. Kemudiannya beliau mengalu-alukan kedatangan mereka yang mengunjungi maulid serta menyampaikan pesanan beberapa perkara berkaitan sambutan maulid ini:

Pertama: Diminta menghadirikan diri lebih awal pada malam-malam seterusnya (iaitu dengan solat maghrib berjemaah di masjid Syeikh).

Kedua: Memakai pakaian yang kemas, berjubah putih dan berkopiah. Lebih baik berserban serta duduk dalam saf yang ditetapkan.

Ketiga: Sesiapa yang berniat untuk bersalam dengan Syeikh Abdul Ghani, maka bersalamlah dengan "hati atau pandangan"sahaja. Ini kerana tak mungkin Syeikh Abdul Ghani memberikan peluang untuk bersalam dengan kesemua yang hadir.

Beliau menutup kalamnya dengan menyebut "Aku menyayangi kamu semua.." (Inni uhibbukum jami'an..) Satu ucapan yang menyentuh hati dan kalbu kami yang hadir. Siapa yang tak menerima cinta dari seorang yang mempunyai pertalian darah dan keturunan dengan Rasulullah s.a.w itu?

Prof. Dr. Lutfi Yahya, seorang pensyarah di Universiti di Helwan yang juga Abna' Syeikh muhafazah Helwan yang diberikan peluang berucap kemudiannya menyambut penuh kegembiraan kalam Sayyidi Husain tadi.

Beliau turut membawa kisah yang berlaku pada zaman pemerintahan Sayyidina 'Umar Al-Khattab selepas satu peperangan. Beliau ingin membahagikan harta rampasan perang. Lalu salah seorang penerimanya ialah anaknya iaitu Abdullah Ibnu 'Umar. Beliau memberikan 2,000 dirham kepada Abdullah. Kemudian tiba giliran cucunda Rasulullah s.a.w iaitu Sayyidina Hasan. Sayyidina 'Umar memberikan kepada Sayyidina Hasan 4,000 dirham. Kemudiannya datang pula Sayyidina Husain dan beliau diberikan juga sama dengan Sayyidina Hasan iaitu sebanyak 4,000 dirham. Lalu ketika itu Sayyidina Abdullah Ibn Abbas bersuara, "Wahai ayahanda! Kamu memberikan pada aku sebanyak 2 ribu dirham sementara kepada Hasan dan Husain sebanyak 8 ribu dirham?" Jawab Sayyidina 'Umar kepada anaknya, "Adakah bagi kamu datuk seperti datuknya mereka (Hasan dan Husain)? Adakah kamu mempunyai ibu seperti ibu mereka berdua?"

Majlis malam pertama ditangguhkan sekitar jam 11.45 malam dan bersambung malam esok. Semua dijemput hadir memeriahkan majlis.

Sabtu, 20 Jun 2009

تهنئة


مدد يا جعفري مدد يا عبد الغني مدد يا شيخنا

****************

نقدم خالصة التهنئة من أعماق قلوبنا إلى
شيخنا العارف بالله تعالى سيدي الشيخ عبد الغني حفظه الله تعالى وأبقاه
والسيد محمد صالح الجعفري والسيد الحسين الجعفري والسيد الحسن الجعفري
حفظهم الله تعالى جميعا

لمناسبة مولد مؤسسة الطريقة الجعفرية الأحمدية المحمدية
فضيلة العارف بالله تعالى مولانا سيدي الشيخ صالح الجعفري
رضي الله تعالى عنه وأرضاه

نسأل الله تعالى أن يجمعنا غدا في الفردوس الأعلى مع شيخنا
كما جمعنا في هذه الأيام المبارك

*****************

من أبناء الإمام الجعفري بالدولة ماليزيا
كل عام وأنتم بخير

Maulid Syeikh Soleh Bermula Malam Ini


Jambakan bunga ucapan tahniah dan kegembiraan dikalungkan di Maqam Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu

Hari ini, Ahad 21 Jun bersamaan 28 Jamadil Akhir akan bermulanya pembukaan sambutan tahunan Maulid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu, seorang dari kalangan ulamak Al-Azhar yang pernah masyhur dengan pengajian Jumaatnya di Masjid Al-Azhar kira-kira lebih 30 tahun dulu. Sambutan Maulid beliau yang ditetapkan minggu pertama bulan Rejab merupakan antara sambutan besar-besaran yang akan menyaksikan berhimpunnya para pencinta dan anak-anak murid beliau dari zamannya hingga mereka yang mengambil bai'ah bersama Syeikh Abdul Ghani.

Sambutan hari ini akan bermula dengna solat maghrib berjemaah. Ia diikuti bacaan Al-Quran yang dikhatamkan bagi dihadiahkan kepada Syeikh Soleh. Majlis kemudian akan berlangsung dengan diselang-seli bacaan madih serta ucapan ringkas dari para ulamak yang dijemput serta tetamu. Dijangka ribuan para tetamu serta jemputan yang akan menghadiri sambutan yang akan bermula hari ini selama lima hari yang akan berakhir pada malam Jumaat ini. Ini termasuk jemputan dari Sudan yang terdiri dari kaum keraba Syeikh Soleh serta mereka yang mencintainya. Cawangan yang paling ramai iaitu muhafazah Aswan dijangka akan membanjiri bumi Kaherah bermula hari ini dan bilangan mereka dijangka bertambah pada malam penutup, Khamis ini. Setakat ini, muhafazah Aswan merupakan muhafazah yang memiliki masjid serta markaz Tariqat Jaafariyah terbanyak di Mesir bahkan kebanyakan mereka memiliki suara yang merdu.

Kepada para tetamu serta jemputan, kami Abna' Jaafari dari Malaysia mengucapkan selamat datang kepada semua. Semoga Allah menghimpunkan kita bersama di syurga kelak sebagaimana Dia menghimpunkan kita di majlis maulid Syeikh Soleh ketika ini.

Kami turut mengucapkan sekalung tahniah kepada Maulana Syeikh Abdul Ghani, Syeikh Tariqat Jaafariyah sempena sambutan Maulid ayahandanya serta pengasas tariqat ini. Dengan mendoakan kepada Allah Taala semoga Allah melanjutkan usianya seta menyempurnakan nikmat kesihatan dan kesejahteraan kepadanya. Juga sejambak ucapan tahniah kepada anakandanya yang tercinta, Sayyidi Muhammad Soleh, Sayyidi Husain dan Sayyidi Hasan serta sekalian kaum kerabat mereka. Semoga Allah memelihara mereka di bawah payung keampunan dan rahmat-Nya.

Selamat bermaulid!


Jumaat, 19 Jun 2009

Dapatkan Majalah Tariqat Jaafariyah


Majalah Tariqat Jaafariyah terbitan lama yang masih dijual.

Majalah terbaru terbitan Maktabah Jawami'ul Kalim sempena Sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari 2009. Majalah ini memuatkan tulisan dari para ulamak dunia berkaitan tasawuf dan perbahasan ulamak. Antaranya Al-Marhum Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki, Dr.Ali Jumaah, Dr.Judah Abul Yazid Al-Mahdi dan ramai lagi. Juga kalam pendahuluan dari Syeikh Abdul Ghani dan Maulana Syeikh Soleh Jaafari. Muka hadapan yang dipilih pada keluaran ini ialah gambar pengajian Syeikh Soleh Jaafari di Masjid Al-Azhar serta dua rangkap bait petikan qasidah Syeikh Abdul Ghani memuji ayahandanya, Syeikh Soleh yang telah memakmurkan Masjid Al-Azhar sewaktu hayatnya dengan pengajian selepas Jumaat.

بالأزهر المعمور شَعَّ ضِيَاؤُكم * بالعلم والأخلاق كنتَ الساقى
كنا الظلام وكنت أنت سراجنا * كالنجم يهدي لصحبة ورِفاَقِ

Musibah Menimpa Salah Sorang Abna' Jaafari

Inna Lillah Wainna Ilaihi Raji'un. Dalam kesibukan menyambut sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari, salah seorang Abna' Jaafari dari Malaysia, Ustaz Suhaimi Mamat yang menetap di Rumah Melayu Abbasiyah (ARMA) telah ditimpa musibah apabila biliknya di aras 5 (No.515) hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku semalam, Khamis 18 Jun sekitar jam 12 tengah hari. Beliau yang berasal dari Kelantan tinggal sehelai sepinggang. Kitab, komputer, beg duit, telefon bimbit serta barang lain milik beliau hangus dijilat api. Ustaz Suhaimi yang menuntut di tahun tiga Kuliah Syariah Universiti Al-Azhar Kaherah merupakan salah seorang Abna' Jaafari yang aktif serta komit dan telah mengambil bai'ah pada tahun 2006. Segala sumbangan wang dan apajua bentuk sumbangan amat dialu-alukan bagi meringankan bebanan beliau. Semoga Allah mengurniakan kesabaran kepada beliau. Apa jua yang berlaku tentunya ada hikmah tersendiri yang hanya Allah jualah yang Maha Mengetahuinya. Takziah dari sekalian Abna' Syeikh. Al-Fatihah,semoga Allah gantikan sesuatu yang lebih baik untuk beliau..

Tentatif Maulid


Jadual ini merupakan tentatif sambutan maulid Syeikh Soleh Jaafari yang akan bermula Ahad, 21 Jun ini dengan majlis pembukaan (Iftitahiyah) yang akan berlangsung selama lima hari dengan penuh gilang-gemilang. Semua dijemput hadir.