Rabu, 25 Mac 2009

ALLAH CIPTAKAN KEKASIHNYA DENGAN SEBAIK-BAIK CIPTAAN

Sabda Baginda SAW, “Sesungguhnya Allah menulis tentang takdir ciptaan-Nya 50,000 tahun sebelum Dia menciptakan langit dan bumi.” Ketika Baginda SAW ditanya, “Bilakah engkau dilantik sebagai nabi?” Jawab Baginda SAW, “Ketika (Nabi) Adam antara roh dan jasad.” (Diriwayatkan oleh Muslim, Ibnu Hibban dan Baihaqi.)

Imam Abu Jaafar Muhammad Al-Baqir r.anhu ditanya, “Bagaimana Rasulullah SAW mendahului para nabi sedangkan Baginda SAW terakhir diutuskan?” Jawabnya. “Tatkala Allah mengambil perjanjian dengan sekalian roh dari zuriat Nabi Adam, lalu Allah bertanya mereka, “Tidakkah Aku ini Tuhan kamu semua?”, (sebagaimana Firman-Nya dalam Surah Al-A‘Araf ayat 172) adalah Baginda SAW yang pertama menjawab, “Bahkan”, demikian itu Baginda SAW lah yang mendahului para nabi lain.” (Diriwayatkan oleh Abu Sahl Al-Qathan dalam kitabnya “Amaliyah”, juga disebut oleh As-Solihiy dalam kitabnya “Subul Al-Huda War Rosyad” serta Imam Suyuti dalam “Al-Khosois Al-Kubra”.)

Diriwayatkan dari Sya’bi, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, “Wahai Rasulullah!Bilakah engkau dilantik menjadi nabi?” Jawab Baginda SAW, “Ketika (Nabi) Adam antara roh dan jasad, ketika itu Dia mengambil perjanjian dariku.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad dan Ibnu Ishaq.)

Diriwayatkan dari Saidina ’Ali bin Abi Talib r.anhu,bahawa beliau berkata, “Allah tidak akan membangkitkan seorang nabi pun-bermula dari Nabi Adam AS hingga mereka yang selepasnya-kecuali mereka semua telahpun mengangkat janji setia kepada Nabi Muhammad SAW iaitu jika mereka dibangkitkan kelak akan beriman dengan Baginda SAW dan membantunya, maka begitu juga dijanjikan terhadap kaum masing-masing.” (Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Jarir At-Tobari dalam tafsirnya.)

Diriwayatkan: Tatkala Allah menciptakan cahaya (nur) Nabi Muhammad SAW, Dia memerintahkan agar cahaya Baginda SAW tersebut memandang kepada sekalian cahaya para nabi lain, lalu cahaya Baginda SAW menyinari ke atas cahaya para nabi lain. Lalu cahaya sekalian para nabi bertanya kepada Allah, “Wahai Tuhan kami! Cahaya apakah yang sedang menerangi kami ini?” Firman Allah, “Inilah dia cahaya Muhammad bin Abdullah, jika kamu beriman dengannya akan Aku jadikan kamu sekalian para nabi.” Mereka menjawab, “ Kami beriman dengan kenabiannya.” Allah berfirman lagi, “Aku akan menjadi saksi atas perjanjian kamu ini.” Mereka menjawab, “Ya”. Demikian Allah berfirman dalam Surah Ali-‘Imran ayat 81 yang bermaksud: Dan ingatlah, ketika Allah mengambil perjanjian dari para nabi dengan berfirman, “Apa saja yang Aku berikan kepada kamu iaitu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan beriman kepadanya dan membantunya dengan bersungguh-sungguh. Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjian-Ku ini?” Mereka menjawab, “Kami mengakui.” Allah berfirman lagi, “Jika demikian, saksikanlah (wahai para nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.” (Disebutkan oleh Imam As-Subki dalam kitabnya “At-Takzim Wal Minnah”)

Imam As-Subki dalam kitabnya “At-Takzim Wal Minnah” menyebut, “Dalam ayat Al-Quran ini menerangkan betapa agungnya kedudukan Baginda SAW yang tidak dapat disembunyikan lagi, kerana kenabian Baginda SAW serta risalahnya adalah umum bagi sekalian makhluk dari zaman (Nabi) Adam hingga kiamat,maka jadilah sekalian para nabi serta umat mereka dari kalangan umat Baginda SAW sebagaimana sabda Baginda SAW, “Aku diutuskan kepada manusia keseluruhannya.” Iaitu tidak dikhususkan manusia pada zaman Baginda SAW sahaja bahkan mereka yang sebelumnya, kerana demikian menerangkan sabda Baginda SAW, “Aku dilantik sebagai nabi sedangkan (Nabi) Adam masih antara roh dan jasad.”

Apabila kita mengetahui demikian, maka tentunya Nabi Muhammad SAW adalah nabi sekalian Anbiya’,apatah lagi lebih jelas ketika di Akhirat: Sekalian nabi berada di bawah panji Baginda SAW, ketika di dunia demikian juga: Iaitu pada malam Israk Mikraj, Baginda SAW mengimami solat antara para nabi lain.

Diriwayatkan daripada Ka’ab Al-Ahbar berkata, “Tatkala Allah menghendaki bagi menciptakan Nabi Muhammad SAW, Dia memerintahkan kepada Jibril agar membawa tanah dari pusat bumi yang tanah tersebut bercahaya yang menyinari. Lalu Jibril mendatangi kepada malaikat lain dan Jibril mengambil tanah dari tapak kubur Baginda SAW yang mulia iaitu yang berwarna putih yang bersinar-sinar, lalu tanah tersebut diuli bersama air Tasnim (sejenis air sungai yang mengalir dalam syurga) hingga membentuk seperti permata putih yang terpancar cahaya keagungannya, lalu telah ditawaf sekalian malaikat di sekitar ’Arasy, Kursi, yang berada di langit,bumi,bukit bukau serta lautan. Oleh demikian, sekalian makhluk Allah telah mengenali kemuliaan Baginda SAW sebelum dikenali (Nabi) Adam.” (Diriwayatkan oleh Abu Saad Al-Naisaburi dalam kitab “Syaraf Al-Mustafa” dan Ibnul Jauzi dalam “Al-Wafa”).

Berkata Abdullah bin ‘Abbas r.anhuma: Asal tanah yang dicipta Rasulullah SAW itu dari perut bumi di Mekah iaitu dari tapak binaan Kaabah di pusat bumi, maka jadilah Baginda SAW itu dituruti sekalian ciptaan lain”.

Dari Jabir bin Abdullah r.anhuma bertanya, “Wahai Rasulullah! Apakah ciptaan pertama dari makhluk Allah sebelum diciptakan segala-galanya?” Sabda Rasulullah SAW, “Wahai Jabir! Sesungguhnya Allah menciptakan cahaya (nur) nabi engkau sebelum Dia menciptakan segala-galanya, lalu Dia menjadikannya sebagai putaran kekuasaan-Nya terhadap apa yang dikehendaki-Nya.Pada masa itu belum lagi tercipta Luh Mahfuz, Qalam, syurga, neraka, malaikat, langit, bumi, matahari, bulan, jin dan manusia. Tatkala Allah menghendaki menciptakan ciptaan-Nya yang lain, lalu Allah membahagikan dari cahaya tersebut (cahaya Baginda SAW tadi) kepada empat bahagian (juzuk): Bahagian pertama diciptakan Qalam, bahagian kedua Luh Mahfuz, bahagian ketiga ‘Arasy dan manakala bahagian keempat Allah bahagikan lagi kepada tiga bahagian yang lain. Lalu Allah menciptakan bahagian pertama tadi malaikat bagi menanggung ’Arasy, bahagian kedua Kursiy, bahagian ketiga malaikat-malaikat lain, manakala bahagian keempat Allah bahagikan lagi kepada empat juzuk yang lain, lalu Allah ciptakan bahagian pertama langit, bahagian kedua lapisan bumi, bahagian ketiga syurga dan neraka, manakala bahagian keempat dibahagikan lagi kepada empat bahagian lain: Lalu Allah menciptakan dari bahagian pertama penglihatan bagi orang-orang mukmin, bahagian kedua hati mereka iaitu mengenali Allah (makrifatullah) dan bahagian ketiga cahaya kalbu mereka iaitu kalimah Tauhid, Lailahaillah Muhammad Rasulullah. (Disebut hadis ini oleh Imam Al-Qostalani dalam kitab “Al-Mawahib”, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Al-Makki dalam “Fatawa Al-Hadithiyah”.)

Diriwayatkan dari Saidina ‘Ali bin Husain dari bapanya (Saidina Husain bin ‘Ali) dan dari datuknya (Saidina ‘Ali bin Abi Talib) dari Nabi Muhammad SAW bersabda, “Ciptaan cahayaku di hadapan Tuhanku selama 14 ribu tahun sebelum ciptaan (Nabi) Adam.” (Diriwayatkan oleh Ibnul Qothan dalam ahkamnya,juga disebut oleh As-Solihiy dalam “Subul Al-Huda War Rosyad”.)

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.anhuma: Adalah Nabi Adam itu diciptakan pada hari Jumaat iaitu antara waktu gelincir matahari hingga waktu Asar, kemudian Allah menciptakan pasangannya Hawa’ dari tulang rusuk sebelah kiri di ketika tidurnya. Tatkala Adam terjaga dari tidurnya dia melihat Hawa’ berada di sebelahnya lalu dihulurkan tangannya kepada Hawa’ akan tetapi ditegur oleh malaikat. Bertanya Adam, “Tidakkah dia diciptakan untukku?” Jawab malaikat, “Hingga kamu tunaikan mahar terlebih dahulu.” Adam bertanya, “Apakah mahar tersebut?” Jawab malaikat, “Iaitu selawat ke atas Muhammad sebanyak tiga kali” atau dalam riwayat lain 20 kali. (Rujuk “Al-Mawahib Al-Ladunniyah” oleh Imam Al-Qostolani dan “Syarah Al-Kabir” oleh Sayyidi Ahmad Dardir dan “Bustan Al-Wa’izin” oleh Ibnul Jauzi.)

Diriwayatkan tatkala Nabi Adam dikeluarkan dari syurga, Baginda melihat tertulis pada tiang-tiang ‘Arasy dan setiap tempat dalam syurga nama “Muhammad” diiringi selepas nama Allah, lalu berkata Adam, “Wahai Tuhan! Siapakah Muhammad ini?” Firman Allah, “Ini ialah anakmu yang jika tidak dia nescaya Aku tidak akan menciptakanmu.” Berkata Adam lagi, “Wahai tuhan! Dengan kehormatan anak ini (Nabi Muhammad) rahmatilah bapanya ini (Nabi Adam).” Lalu diseru : Wahai Adam! Jika kamu meminta syafaat kepada Kami dengan Muhammad nescaya Kami akan memberikan syafaat padamu.” (Disebut oleh Al-Waqidi dalam “Futuh As-Syam” dan Al-Qostalani dalam “Al-Mawahib”.)

Sabda Rasulullah SAW, “Tatkala Adam melakukan kesilapan dengan memakan buah larangan Allah dalam syurga,Baginda berkata, “Wahai Tuhan! Aku memohon dengan hak Muhammad agar Engkau ampuni aku.” Allah berfirman, “Wahai Adam! Bagaimana engkau mengenali Muhammad sedangkan Aku belum menciptakannya?” Adam menjawab, “Tatkala Kau menciptakan aku, Kau meniupkan roh ke dalam jasadku maka aku mengangkat kepalaku lantas aku melihat pada tiang-tiang ‘Arasy tertulis ((Lailaha illallah Muhammad Rasulullah)), maka tahulah aku bahawa Engkau tidak akan menyandarkan nama seseorang kepada-Mu kecuali dia adalah yang Engkau kasihi dikalangan makhluk-Mu.” Firman Allah, “Benarlah engkau wahai Adam. Dia amat Aku cintai berbanding sekalian makhluk lain. Jika engkau meminta daripada-Ku dengan haknya nescaya Aku ampuni engkau. Jika tidak kerana Muhammad, tidak Aku ciptakanmu wahai Adam. Dia ialah nabi yang terakhir dari zuriatmu.” (Diriwayatkan oleh Al-Hakim, disahkan oleh Al-Baihaqi dan Abu Nu’aim dalam Ad-Dalail serta At-Tobrani dalam Ausat Wasoghir juga Ibnu ‘Asakir dan Al-Ajriyy dari Saidina Umar Al-Khattab r.anhu.)

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Asakir dari Salman berkata: Telah datang Jibril kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata, “Sesungguhnya Tuhanmu berfirman, “Jika Aku mengambil (Nabi) Ibrahim sebagai teman-Ku,maka Aku mengambilmu sebagai kekasih-Ku. Tidaklah Aku ciptakan sesuatu makhluk yang lebih mulia daripadamu. Sesungguhnya telah Aku ciptakan dunia serta penduduknya agar mereka mengetahui kemuliaan dan kedudukanmu di sisi-Ku. Jika tidak keranamu nescaya tidak aku ciptakan dunia ini.”

Tatkala mengandung Hawa’ bagi anaknya yang bernama Syith,telah terpancar kemuliaannya kerana Nabi Muhammad SAW. Ini kerana cahaya Baginda SAW berpindah dari Nabi Adam kepada anaknya Syith. Sebelum kewafatan Nabi Adam, Baginda mewasiati anaknya Syith yang kemudiannya Syith juga mewasiati anaknya dengan wasiat yang sama: Iaitu agar meletakkan cahaya yang mulia ini hanya kepada wanita yang suci. Jadilah wasiat ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi hingga tiba kepada Abdul Mutalib dan anaknya Abdullah.

Allah telah mensucikan nasab keturunan Baginda SAW dari ‘Sifah Jahiliyyah’ iaitu cara pernikahan kaum jahiliyah yang tentunya tidak berlaku kepada datuk moyang Nabi Muhammad SAW termasuk ayahandanya Saidina Abdullah dan bondanya Saidaitina Aminah.

Terjemahan buku kecil bertajuk: “Saidina Muhammad SAW, Adalah Nabi Antara Anbiya’ dan Ciptaan Pertama” tulisan Syeikh Abu Hashim As-Syarif cetakan Maktabah Ar-Rahmatul Muhdah Mansurah, Mesir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan