Rabu, 15 Julai 2009

Ziarah Sayyidi Ibrahim Dusuqi

في رحاب سيدي الدسوقي

المدد يا سيدي الدسوقي المدد

Maqam Sayyidi Ibrahim Dasuqi r.anhu yang terletak dalam masjid beliau.

Bergambar kenang-kenangan di maqam Sayyidi Ibrahim Dasuqi.

Inilah kesan tapak tangan Baginda Rasulullah s.a.w yang mulia.

Penerangan di sisi tapak tangan Baginda s.a.w yang mulia sebelum bacaan doa di sisinya.

Tanggal 1 Julai lalu, para pencinta Syeikh Soleh Jaafari r.anhu bersama abna' Malaysia mengadakan lawatan dan menziarahi maqam wali qutub yang agung, Sayyidi Ibrahim Dusuqi r.anhu. Jaulah yang melibatkan dua muhafazah iaitu Kafr Syeikh dan Iskandariah itu diadakan selama sehari suntuk dengan dimulai dengan maqam Sayyidi Ibrahim Dusuqi. Masjid dan maqam beliau yang terletak di bandar Dasuq, muhafazah Kafr Syeikh itu memakan masa hampir tiga jam dari Kaherah. Perjalanan dengan tremco ke muhafazah tersebut tidak sunyi dengan bacaan madih dan pujian terhadap Rasulullah s.a.w. Setibanya kami di masjid beliau yang mulia, bacaan madih dan selawat sekali lagi bergema di maqam beliau. Bersebelahan maqam beliau bersemadinya jasad saudaranya. Rangka tulang buaya yang terlibat dengan peristiwa masyhur yang dikaitkan dengan Sayyidi Ibrahim Dusuqi masih disimpan berhampiran maqamnya. Ceritanya satu hari seorang kanak-kanak ditelan buaya ketika bermain-main di sungai. Lalu ibu kanak-kanak tadi mengadu kejadian tersebut kepada Sayyidi Ibrahim lalu beliau bergegas ke sungai dan memerintahkan supaya buaya yang memakan kanak-kanak tadi supaya timbul. Dengan izin Allah, buaya tadi timbul lalu Sayyidi Ibrahim minta buaya tadi mengeluarkan kanak-kanak tadi dari perutnya. Buaya tadi dengan kuasa Allah menurut perintah lalu selepas dikeluarkan mayat kanak-kanak tadi Sayyidi Ibrahim berkata, "Sekarang matilah kamu wahai buaya dengan izin Allah," Lalu buaya tadi pun mati. Tulang buaya tadi masih selamat tersimpan dalam maqam tersebut. Sayyidi Ibrahim dilahirkan pada tahun 653 hijrah dan meninggal dunia ketika berusia 43 tahun pada tahun 696 hijrah. Beliau juga dikatakan wali Allah yang meninggal dunia dalam keadaan sujud dalam solat.

Berhampiran maqam kedua-dua wali tersebut terdapat kesan tapak tangan mulia Baginda Rasulullah s.a.w. Kami turut membacakan qasidah "Marhaban Haza Nabi" sambil mereka yang hadir mengucup mengambil berkat pada kesan tapak tangan tersebut.

Lawatan kami ke berakhir dengan bacaan doa yang dibacakan oleh Ustaz Khairil Anuar Saleh yang turut menyertai jaulah pada hari itu. Bacaan doa diaminkan oleh kami di hadapan kesan tapak tangan tersebut mengambil pandangan dari para ulamak yang menyebut mustajab doa di sisi tempat mempunyai kesan peninggalan Rasulullah s.a.w. Sebelum ini jaulah kami ke Masjid Sultan Qaitbai di Kaherah juga ketika menziarahi kesan dua tapak kaki mulia Baginda Rasulullah s.a.w di masjid tersebut.

Jaulah kami pada hari itu agak istimewa dengan pergerakan kami dikawal oleh anggota polis dari cawangan Dasuq. Mereka turut mengiringi kenderaan kami sewaktu perjalanan keluar dari bandar Dasuq menuju ke bandar Iskandariah bagi meneruskan ziarah kami ke maqam auliya' seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan