Ahad, 21 Jun 2009

Malam Pertama Maulid Syeikh Soleh 1430

إنا نحبك يا سيدي الحسينSayyidi Husain Al-Jaafari Ibn Sayyidi Abdul Ghani

Malam pertama sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu tadi bermula dengan penuh gilang-gemilang. Walaupun masih ramai dari kalangan Abna' Syeikh terutama dari Aswan dan muhafazah yang jauh belum tiba, namun majlis pada malam pembukaan tetap berjalan lancar. Kelihatan hanya tetamu dari Sudan yang kebanyakan terdiri dari kaum keluarga Syeikh Soleh. Tetamu dari muhafazah Aswan, Luxor dan Asyut masih belum kelihatan. Mungkin mereka akan tiba sehari dia lagi. Yang penting mereka akan memeriahkan malam penutup yang akan berlangsung malam Jumaat ini. Majlis bermula sebaik sahaja selesai solat maghrib dengan dikhatamkan bacaan Al-Quran 30 juzuk.

Dalam majlis tadi, Raid Syabab Tariqat, Sayyidi Husain ibn Sayyidi Abdul Ghani mengambil peluang berucap. Kata-katanya mampu menarik hadirin terutama beliau memulakan ucapan dengan bacaan syair. Kemudiannya beliau mengalu-alukan kedatangan mereka yang mengunjungi maulid serta menyampaikan pesanan beberapa perkara berkaitan sambutan maulid ini:

Pertama: Diminta menghadirikan diri lebih awal pada malam-malam seterusnya (iaitu dengan solat maghrib berjemaah di masjid Syeikh).

Kedua: Memakai pakaian yang kemas, berjubah putih dan berkopiah. Lebih baik berserban serta duduk dalam saf yang ditetapkan.

Ketiga: Sesiapa yang berniat untuk bersalam dengan Syeikh Abdul Ghani, maka bersalamlah dengan "hati atau pandangan"sahaja. Ini kerana tak mungkin Syeikh Abdul Ghani memberikan peluang untuk bersalam dengan kesemua yang hadir.

Beliau menutup kalamnya dengan menyebut "Aku menyayangi kamu semua.." (Inni uhibbukum jami'an..) Satu ucapan yang menyentuh hati dan kalbu kami yang hadir. Siapa yang tak menerima cinta dari seorang yang mempunyai pertalian darah dan keturunan dengan Rasulullah s.a.w itu?

Prof. Dr. Lutfi Yahya, seorang pensyarah di Universiti di Helwan yang juga Abna' Syeikh muhafazah Helwan yang diberikan peluang berucap kemudiannya menyambut penuh kegembiraan kalam Sayyidi Husain tadi.

Beliau turut membawa kisah yang berlaku pada zaman pemerintahan Sayyidina 'Umar Al-Khattab selepas satu peperangan. Beliau ingin membahagikan harta rampasan perang. Lalu salah seorang penerimanya ialah anaknya iaitu Abdullah Ibnu 'Umar. Beliau memberikan 2,000 dirham kepada Abdullah. Kemudian tiba giliran cucunda Rasulullah s.a.w iaitu Sayyidina Hasan. Sayyidina 'Umar memberikan kepada Sayyidina Hasan 4,000 dirham. Kemudiannya datang pula Sayyidina Husain dan beliau diberikan juga sama dengan Sayyidina Hasan iaitu sebanyak 4,000 dirham. Lalu ketika itu Sayyidina Abdullah Ibn Abbas bersuara, "Wahai ayahanda! Kamu memberikan pada aku sebanyak 2 ribu dirham sementara kepada Hasan dan Husain sebanyak 8 ribu dirham?" Jawab Sayyidina 'Umar kepada anaknya, "Adakah bagi kamu datuk seperti datuknya mereka (Hasan dan Husain)? Adakah kamu mempunyai ibu seperti ibu mereka berdua?"

Majlis malam pertama ditangguhkan sekitar jam 11.45 malam dan bersambung malam esok. Semua dijemput hadir memeriahkan majlis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan