Sabtu, 20 Jun 2009

Maulid Syeikh Soleh Bermula Malam Ini


Jambakan bunga ucapan tahniah dan kegembiraan dikalungkan di Maqam Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu

Hari ini, Ahad 21 Jun bersamaan 28 Jamadil Akhir akan bermulanya pembukaan sambutan tahunan Maulid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu, seorang dari kalangan ulamak Al-Azhar yang pernah masyhur dengan pengajian Jumaatnya di Masjid Al-Azhar kira-kira lebih 30 tahun dulu. Sambutan Maulid beliau yang ditetapkan minggu pertama bulan Rejab merupakan antara sambutan besar-besaran yang akan menyaksikan berhimpunnya para pencinta dan anak-anak murid beliau dari zamannya hingga mereka yang mengambil bai'ah bersama Syeikh Abdul Ghani.

Sambutan hari ini akan bermula dengna solat maghrib berjemaah. Ia diikuti bacaan Al-Quran yang dikhatamkan bagi dihadiahkan kepada Syeikh Soleh. Majlis kemudian akan berlangsung dengan diselang-seli bacaan madih serta ucapan ringkas dari para ulamak yang dijemput serta tetamu. Dijangka ribuan para tetamu serta jemputan yang akan menghadiri sambutan yang akan bermula hari ini selama lima hari yang akan berakhir pada malam Jumaat ini. Ini termasuk jemputan dari Sudan yang terdiri dari kaum keraba Syeikh Soleh serta mereka yang mencintainya. Cawangan yang paling ramai iaitu muhafazah Aswan dijangka akan membanjiri bumi Kaherah bermula hari ini dan bilangan mereka dijangka bertambah pada malam penutup, Khamis ini. Setakat ini, muhafazah Aswan merupakan muhafazah yang memiliki masjid serta markaz Tariqat Jaafariyah terbanyak di Mesir bahkan kebanyakan mereka memiliki suara yang merdu.

Kepada para tetamu serta jemputan, kami Abna' Jaafari dari Malaysia mengucapkan selamat datang kepada semua. Semoga Allah menghimpunkan kita bersama di syurga kelak sebagaimana Dia menghimpunkan kita di majlis maulid Syeikh Soleh ketika ini.

Kami turut mengucapkan sekalung tahniah kepada Maulana Syeikh Abdul Ghani, Syeikh Tariqat Jaafariyah sempena sambutan Maulid ayahandanya serta pengasas tariqat ini. Dengan mendoakan kepada Allah Taala semoga Allah melanjutkan usianya seta menyempurnakan nikmat kesihatan dan kesejahteraan kepadanya. Juga sejambak ucapan tahniah kepada anakandanya yang tercinta, Sayyidi Muhammad Soleh, Sayyidi Husain dan Sayyidi Hasan serta sekalian kaum kerabat mereka. Semoga Allah memelihara mereka di bawah payung keampunan dan rahmat-Nya.

Selamat bermaulid!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan