Rabu, 27 Mei 2009

Kemuliaan Sayyidina Husain (1): Ziarahilah Dan Jadikannya Wasilah Kita




Makam Sayyidina Al-Imam Husain r.anhu di Kaherah sentiasa dikunjungi orang pilihan Allah. Di dalam binaan tersebut dikebumikan kepala beliau yang mulia.

Dua gambar ini menunjukkan Masjid Sayyidina Husain dihiasi begitu cantik dengan kunjungan ribuan manusia pada sambutan Maulid beliau pada bulan Rabi'ul Akhir setiap tahun.

Keberadaan Makam Sayyidina Al-Imam Husain yang terletak bersebelahan dengan kampus Universiti Al-Azhar bukanlah suatu kebetulan. Tambahan pula terletak di medan yang begitu sibuk dengan kawasan pelancong yang datang dari pelbagai negara untuk membeli belah di Pasar Khan Khalili. Pasar ini tentunya amat dikenali terutama kepada pelancong yang datang dari Malaysia atau mana-mana negara. Pakej pelancongan tentu akan menyelitkan "Kunjungan ke Pasar Khan Khalili" bagi membawa pelancong membeli-belah di pasar tersebut. Kadang-kadang seakan-akan 'terlupa' hak Sayyidina Husain yang perlu diziarahi kerana beliau bukan milik bangsa Arab semata-mata tetapi milik semua umat Islam di seluruh dunia. Bukankah datuknya (Rasulullah s.a.w) merupakan utusan kepada seluruh alam? Bagaimana kita dapat melihat kesungguhan para penganut Syiah yang sering kelihatan di makam ahli keluarga Rasulullah s.a.w terutama di Sayyidina Husain datang menziarahi. Walaupun dari negara yang jauh, mereka sanggup menghabiskan wang dan masa dengan mengenakan pakaian khas, mereka datang menziarahi Sayyidina Husain. Bagaimana pula bagi kita yang sudahpun berada di sisi Sayyidina Husain? Tidak terasakah jiwa kita untuk menziarahinya?

Kawasan medan Sayyidina Husain tersebut seringkali juga menjadi tumpuan kerana masalah keselamatan. Serangan bom yang ditujukan kepada para pelancong asing, menjadikan kawasan tersebut diletakkan kawalan yang ketat oleh pihak polis. Sesiapa yang membawa beg pasti akan diperiksa oleh pihak keselamatan. Namun, percayalah sesiapa yang datang kepada Sayyidina Husain dengan niat yang ikhlas dan suci pasti sentiasa dilindungi Allah. Satu qasidah yang sering dibacakan di makam beliau iaitu:

نحن فِي سَاحَةِ الحُسينِ نَزَلْنَا * فِي حِمَى الله مَن أَتَى لِلْحُسَينَا

Bermaksud:
"Kami turun dan kini berada di kawasan Sayyidina Husain*
Dalam penjagaan Allah sesiapa yang menziarahi kerana Sayyidina Husain".


Ia bagai sesuatu yang telah ditetapkan Allah untuk menempatkan kepala Sayyidina Husain yang mulia di tempat tersebut bagi memudahkan sekalian pencintanya untuk menziarahi beliau di situ. Apatah lagi dengan adanya Masjid Al-Azhar dan unviersitinya yang terletak tidak jauh dari Masjid Sayyidina Husain, tentunya memberikan peluang kepada para penuntut ilmu agama Allah untuk mendekatkan diri dengan putera Rasulullah s.a.w itu.

Tentunya sesiapa yang pertama kali menjejakkan kaki ke kawasan Masjid Sayyidina Husain tersebut pasti akan merasa sedikit keajaiban. Masjid yang dipenuhi dengan keberkatan dan diliputi dengan kerahmatan tersebut suatu ketika dahulu sering menjadi tumpuan para ulamak dan wali Allah. Syeikh Mutawalli Syaarawi (r.anhu) sebagai contoh, seorang ulamak yang dikenali dunia, sewaktu hayatnya sering dilihat berada di masjid tersebut menziarahi Sayyidina Husain. Diceritakan sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir, kalam terakhir yang keluar dari mulut beliau, "Engkau sendiri datang menjemput aku pada hari ini wahai Sayyidina Husain!". Cinta dan kasih beliau kepada Sayyidina Husain berbalas akhirnya apabila Sayyidina Husain sendiri bersama-sama Syeikh Syaarawi ketika akhir hayatnya.

Al-Marhum Syeikh Syaarawi (kiri) dan Syeikh Ismail Sodiq Al-'Adawi merupakan antara kalangan pencinta Sayyidina Husain r.anhu.

Demikian juga kepada seorang ulamak iaitu Syeikh Ismail Sodiq Al-'Adawi, imam dan khatib di Masjid Al-Azhar ketika itu yang sering menyampaikan pengajian di dalam Masjid Sayyidina Husain.Tapi beliau enggan menggunakan pembesar suara setiap kali mengajar kerana katanya "Bagaimana aku meninggikan suara aku (menggunakan pembesar suara) sedangkan dalam masjid ini terdapat cucu Rasulullah s.a.w (iaitu Sayyidina Husain)."

Begitulah para ulamak sejak dahulu memberikan penghormatan mereka kepada Sayyidina Husain. Ringkasnya, sesiapa yang duduk beriktikaf di dalam Masjid Sayyidina Husain pasti akan dapat bertemu golongan pilihan Allah ini yang datang ke makam Sayyidina Husain. Jika mahu kenali mereka, orang Arab akan mengerumuni mereka dan mengiringi mereka ini masuk ke makam tersebut. Di dalam makam Sayyidina Husain, mereka akan membacakan madih, qasidah dan ulamak tersebut akan mengakhiri ziarah mereka dengan membacakan doa di hadapan Sayyidina Husain dengan diaminkan oleh mereka yang hadir.

Situasi ini sering kita lihat berlaku bukan sahaja di makam Sayyidina Husain akan tetapi di makam wali Allah lain seperti makam adinda Sayyidina Husain iaitu Sayyidah Zainab, Sayyidah Nafisah, Sayyidina Al-Imam Syafi'e dan lain-lain.

Berkata Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang dipetik dari kitab Pengajian Jumaat pada jilid kelima (muka surat 108), beliau menyebut:
"Siapakah Sayyidina Husain? Beliau ialah anak (cucu) Rasulullah s.a.w. Tidak ada lagi anak (cucu) Nabi di Mesir ini kecuali beliau-r.anhu."

Beliau berkata lagi seperti dalam kitab Pengajian Jumaat pada jilid pertama (muka surat 48):
"Kita menziarahi Sayyidina Husain r.anhu, dan setiap yang menziarahinya adalah kerana datuknya (Rasulullah s.a.w) yang pernah bersabda, (Husain daripadaku, manakala aku adalah dari Husain), maka beliau bukanlah seorang raja, sultan, ketua atau memiliki pengawal (yang menjaganya), sesungguhnya sekalian manusia yang datang kepadanya berduyun-duyun adalah kerana datuknya Rasulullah s.a.w semata-mata."

Syeikh Soleh menyebutkan lagi tentang kelebihan Sayyidina Husain:
"Setiap kali kita masuk ke makamnya nescaya kita akan melihat cahaya seperti matahari. " Lalu orang bertanya kepada Syeikh Soleh "Cahaya apakah itu?" Jawab Syeikh Soleh, "Cahaya dari datuknya Nabi Muhammad s.a.w.

Setiap kali kamu masuk ke makamnya, beliau akan melihat kamu dengan kehendak Allah, akan diliputi cahaya ini ke atas kamu dengan kehendak Allah, jika kamu berkata "Assalamu'alaikum" maka beliau (Sayyidina Husain) akan menjawab salam kamu dengan kelebihan dan kehendak Allah, jika kamu meminta beliau akan perkenankan dengan kelebihan dan kehendak Allah dan jika kamu bertawassul dengannya kepada Allah nescaya diberikan dengan kehendak Allah, firman Allah,

"Jangan kamu menyangka orang-orang yang mati di jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dalam keadaan diberikan rezeki..." (Surah Ali-Imran: ayat 169).

Syeikh Soleh seterusnya menyebut lagi tentang Sayyidina Husain pada pengajian Jumaat jilid kesembilan (muka surat 40):

"Aku menziarahi Sayyidina Husain, kerana dia adalah sebab aku sembuh dari penyakit, akan tetapi penyembuh sebenar adalah Allah!


Akan tetapi orang yang ingkar berkata, "Jangan kamu ziarahi para wali Allah kerana menziarahi mereka syirik!"

Kerana apa wahai saudaraku?! Sedangkan kita semua adalah orang yang mentauhidkan Allah! Adakah kerana aku pergi menziarahi Sayyidina Husain lalu aku berkata "Assalamua'laika ya ibnu binti ar-Rasul (iaitu salam sejahtera wahai anak lelaki kepada anak perempuan Rasulullah s.a.w) maka aku telah jadi syirik? Tidak..Sesekali tidak.. Kerana kita semua mengesakan Allah, wahai saudaraku."

Syeikh Soleh kemudian membawakan perumpamaan Ka'abah.
"Baitullah (Ka'abah), binaannya dari batu-batan, kamu solat menghadapnya dan kita melihat kepadanya di mana berada kita akan menghadapnya, kita sujud ke arahnya, kita menciumnya kerana apa? Kerana ia (Ka'abah) dinisbahkan kepada Allah (iaitu Baitullah) jadi kita akan mengingati Allah.

Begitu juga para wali Allah, apabila kamu menziarahi mereka kamu akan mengingati Allah, apabila mereka diingati kamu akan mengingati Allah.

Sayyidi Ahmad Badawi diberikan Allah kewalian, setiap kali kamu melihatnya (iaitu makamnya) kamu akan mengingati Allah, begitu juga Sayyidina Husain r.anhu, seorang yang mulia, 'alim, orang yang mati syahid, wali, merupakan putera kepada puteri Rasulullah s.a.w (iaitu Sayyidah Fatimah).Setiap kali kamu melihat manusia yang ramai datang menziarahinya, bertambah iman kamu kepada Allah, bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w serta cinta kepada sekalian ahli keluarganya.

Tidak sama kamu menziarahi makam Sayyidina Husain seperti kamu ziarahi makam Muhammad Ali, juga Ibrahim Basha (makam pembesar Mesir zaman dahulu yang terdapat di Mesir).

Apabila kamu menziarahinya kamu bercakap dengannya dengan bahasa orang yang hidup yang boleh mendengar dan melihat: (iaitu kamu memberi salam) Assalamualaika ya ibnu binti Nabi, syuhada' Allah ahya'an 'inda rabbihim yurzaqun.." Bermaksud "Salam sejahtera ke atas kamu wahai putera kepada puteri Rasulullah, wahai kalangan orang yang mati syahid, syuhada' Allah yang diberikan rezeki di sisi Tuhan mereka.."

Demikian petikan kalam Syeikh Soleh Jaafari tentang kemuliaan Sayyidina Husain. Tentang kalam beliau yang mengatakan "...Jika kamu meminta kepadanya nescaya dia akan berikan dengan kehendak Allah..."

Di sini ingin dikongsi bersama kisah seorang anak murid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang masih hidup hingga kini, iaitu bernama Haji 'Aid, beliau seorang yang istiqamah menghadiri pengajian Syeikh Soleh di Masjid Al-Azhar. Ketika itu Haji 'Aid telah lama berkahwin tetapi masih belum dikurniakan zuriat. Lalu beliau mengambil keputusan untuk menceritakan hal tersebut kepada gurunya, Syeikh Soleh. Selesai beliau bercerita, Syeikh Soleh berkata, "Sekarang kamu pergi ke Sayyidina Husain, kamu ceritakan kepadanya seperti kamu ceritakan kepada aku tadi.." Lalu Haji 'Aid tadi menziarahi Sayyidina Husain lalu menceritakan seperti yang diperintah oleh Syeikh Soleh tadi menggunakan bahasa seperti bercakap dengan orang hidup. Lalu Haji 'Aid menyebut dengan izin dan kehendak Allah, tidak lama selepas itu beliau dikurniakan zuriat oleh Allah dengan keberkatan Sayyidina Husain tadi.

Juga termasuk mereka yang menghadapi peperiksaan, sebelum memasuki dewan peperiksaan di Universiti Al-Azhar, maka seeloknya ziarahilah Sayyidina Husain, atau sesiapa jua di kalangan kita yang mempunyai masalah atau kesempitan hidup. Sayyidina Husain, seperti yang disebut oleh Syeikh Soleh hanyalah sebab manakala yang berkuasa sebenar adalah Allah! Itu merupakan akidah kita yang tidak perlu dipersoalkan tetapi antara kita dan Sayyidina Husain mempunyai kedudukan dan martabat yang berbeza. Antara dua darjat seperti langit dengan bumi. Dengan kelebihan yang telah disebutkan tadi, tiada nilai apa-apa kita di sisi Allah. Maka sewajarnya kedudukan Sayyidina Husain yang tinggi itu kita jadikan wasilah kepada Allah untuk menyampaikan hajat dan cita-cita kita.

Madad ya Sayyidina Husain! Madad ya Ibnan Nabi! Madad ya ibnal Imam 'Ali!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan