Selasa, 19 Mei 2009

Syeikh Soleh Lahirkan Rasa Cinta Kepada Rasulullah

Ustaz Ahmad Jum'ah (kanan) membacakan madih di Maulid Syeikh Soleh Jaafari bersama adiknya Ustaz Yahya Jum'ah (kiri). Semoga Allah berkati mereka.

Kulit hadapan Diwan Syeikh Soleh Jaafari r.anhu juzuk keenam, bahagian kedua dalam bab Muhammadiyyat (memuji Rasulullah s.a.w).

Dalam qasidah karangan Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu pada juzuk keenam, muka surat 57, (cetakan baru) petikan dari Diwan Syeikh Soleh Jaafari r.anhu, beliau telah menukilkan syair memuji Maulana Rasulullah s.a.w dengan katanya:

كُلَّما زُرتُ المقام * زَادَ وَجْدِهِ وَالهُيَام
فيه بدرٌ ذُو تًمَام * نُورُهُ يَجلو الظلام
فيه طه المصطفى * سَيِّدُ الرُسلِ الخِتام
Bermaksud:

"Setiap kali aku menziarahi maqam (Rasulullah s.a.w),
bertambah rasa kasih padanya dan cinta yang teramat sangat,
Padanya (iaitu maqam tersebut) terdapat bulan purnama,
cahayanya menerangi kegelapan,
Padanya (iaitu maqam tersebut) terdapat Toha Mustafa (iaitu Rasulullah s.a.w),
Penghulu dan penutup bagi sekalian Rasul."

**Al-Huyam seperti yang tertulis dalam Kamus Marbawi bermaksud: dahaga yang sangat-sangat, gila berahi.

Qasidah ini telah dialunkan dan dipopularkan oleh salah seorang Abna' dari Aswan iaitu Haji Ahmad Jum'ah yang masyhur dikalangan Abna' kerana memiliki suara yang cukup merdu melalui rakaman kaset dan VCD yang terjual di Masjid Syeikh Soleh Jaafari. Qit'ah (petikan) syair tulisan Syeikh Soleh Jaafari r.anhu di atas membayangkan betapa kasihnya beliau kepada nendanya Maulana Rasulullah s.a.w. Tidak hairan bagaimana kemuliaan yang Allah berikan kepada beliau, sepanjang hayat beliau, Syeikh Soleh telah dikurniakan menunaikan fardhu haji sebanyak 27 kali termasuk dapat menziarahi Sayyidina Rasulullah s.a.w di Madinah Al-Munawarrah.

Demikianlah tanda kasih dan sayangnya seseorang kepada Rasulullah s.a.w kerana kasih dan sayang itu bukan hanya memadai dituturkan pada bibir sahaja bahkan ia mempunyai 'alamah iaitu dalil dan mesti dibuktikan.

Syeikh Soleh menyatakan bagaimana setiap kali beliau menziarahi Baginda s.a.w semakin bertambah dan cintanya kepada Rasulullah s.a.w. Ini kerana beliau menziarahi Baginda s.a.w bersama dengan hati. Jasad dan rohnya hadir bersama-sama pada setiap kali kunjungan ziarahnya ke atas Baginda s.a.w. Demikian juga yang berlaku kepada sekalian para auliya' dan orang pilihan Allah.

Seorang wali Allah yang masyhur, Sayyidi Syeikh Khalil Khatib r.anhu (yang berasal dari Barat Mesir dan makam serta masjidnya berada di bandar Tanta) satu ketika menziarahi Maulana Rasulullah s.a.w. Ketika beliau menjejakkan kaki untuk memasuki Masjid Nabi s.a.w. beliau mengucapkan salam kepada Rasulullah s.a.w dengan katanya "Assalamualaika ya Rasulallah!". Lantas beliau berhenti beberapa ketika dan berjalan masuk. Anak muridnya bertanya kenapa beliau bertindak sedemikian? Jawab Syeikh Khalil Khatib, "Aku berhenti tadi hingga aku mendengar Rasulullah s.a.w menjawab salam lalu baru aku masuk ke masjid ini." Bagaimana beliau dapat mendengar Rasulullah s.a.w menjawab salam beliau kecuali beliau menghadirkan hati dan roh ketika menziarahi Baginda s.a.w. Dengan menghadirkan hati dan roh ketika menziarahi Baginda s.a.w, maka air mata akan mengalir tanpa disedari dengan menyatakan syukur ke hadrat Allah yang menyampaikan seseorang menziarahi semulia-mulia ciptaan Allah.

Demikian dibentangkan petikan syair Syeikh Soleh Jaafari. Kalimah yang digunakan ibarat sepasang kekasih yang sedang bercinta. Kalimah tersebut dijelmakan melalui tulisan yang berbentuk syair yang merupakan isi hati beliau yang terlalu rindukan Rasulullah s.a.w.

Memang benar sabda Baginda s.a.w:
لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين

Bermaksud "Tidak (sempurna) iman seseorang dari kalangan kamu hingga aku ini dikasihinya melebihi dari kedua ibu bapanya, anak-anaknya serta manusia keseluruhannya."


Tiada ulasan:

Catat Ulasan