Khamis, 28 Mei 2009

Sayyidi Husain Peringatkan Sambutan Maulid Syeikh Awal Rejab

Sayyidi Husain ibn Sayyidi Syeikh Abdul Ghani

Sewaktu majlis hadrah di Masjid Maulana Syeikh Soleh Jaafari malam Jumaat lepas, Sayyidi Husain ketua bagi pemuda bagi Tariqat Jaafariyah mengingatkan sekalian abna' tentang kedatangan bulan Rejab yang akan datang adalah sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari seperti yang disambut sejak tahun 1980. Tahun ini genaplah 30 tahun sudah Maulana Syeikh Soleh kembali ke rahmatullah. Tahun ini juga merupakan sambutan maulid tahun yang ke-29. Maulid Syeikh Soleh ditetapkan disambut pada minggu pertama bulan Rejab setiap tahun. Bermula pada hari Ahad minggu pertama bulan Rejab, ia berlangsung selama lima malam berturut-turut. Pada malam pertama (hari Ahad), selepas solat maghrib, lazimnya diadakan bacaan Al-Quran hingga khatam 30 juzuk dengan diniat disedekahkan kepada Syeikh Soleh Jaafari.

Majlis kemudian akan diselang-seli dengan bacaan madih dengan ucapan ringkas dari para ulamak jemputan yang diberikan peluang berucap. Para hadirin juga berkesempatan untuk mendengar kalam nasihat dari kalangan ulamak yang hadir di majlis tersebut terutama para pensyarah dan ulamak Al-Azhar.

Sepanjang lima hari sambutan maulid juga turut diadakan pameran (ma'aradh) kitab di perkarangan masjid yang akan didirikan khemah. Antara kitab yang dijual pada pameran tersbeut termasuk buku karangan Syeikh Soleh, kitab tasawuf lain serta tidak ketinggalan gambar-gambar kenangan Syeikh Soleh, VCD dan kaset yang memuatkan suara Syeikh Soleh sewaktu menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar serta alunan madaih.

Majlis hadrah akan berlangsung setiap malam tersebut selepas solat maghrib manakala malam penutupnya (Lailah khitamiyyah) akan berlangsung pada hari Khamis, malam Jumaat. Pada malam penutup tersebut majlis hadrah akan berlangsung hingga menjelang solat Subuh pagi Jumaat.

Oleh itu, bagi menyambut perayaan yang besar ini, sewajarnya Sayyidi Husain memperingati kembali terutama para pemuda yang selesai menjalani peperiksaan untuk membantu mengadakan persiapan yang sepatutnya terutama di dalam ruang solat dan di kawasan maqam.

Begitulah taqwim sambutan maulid Ahli keluarga Rasulullah s.a.w di Mesir. Sebelum sambutan maulid Syeikh Soleh, tidak lama lagi tanggal 3 Jun ini kita semua bakal merayakan sambutan maulid Sayyidah Nafisah dan seminggu kemudian diadakan pula sambutan Maulid puteri kesayangan Rasulullah s.a.w iaitu Sayyidah Fatimah Az-Zahra'. Ini semua bagi bertujuan untuk mendekatkan diri para hamba Allah sekalian kepada mereka yang telah dipilih oleh Allah menjadi pertalian darah dengan kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.


Pameran yang diadakan di perkarangan masjid Syeikh Soleh, Darrasah sepanjang sambutan maulid berlangsung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan