Jumaat, 15 Mei 2009

Sejarah Burdah Al-Hasaniyyah wal Husainiyyah

Kulit hadapan bagi Burdah Al-Hasaniyyah wal Husainiyyah karangan Maulana Syeikh Soleh.

Mukadimah Burdah seperti Burdah Al-Imam Busairi yang dimulakan dengan "Maulaya solli wasallim daiman abadan 'ala habibika khairil khalqi kullihimi."

Antara karangan qasidah Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu yang masyhur ialah Burdah Al-Hasaniyyah wal Husainiyyah (burdah yang dinisbahkan kepada nama Sayyidina Al-Imam Hasan dan Husain r.anhuma).

Menurut Syeikh Ashraf Hamid Hasanain, ketua sekretariat bagi Maktabah Jawami'ul Kalim, sewaktu awal usia 15 tahun, Syeikh Soleh Jaafari melihat ayahnya, Syeikh Muhammad membaca Burdah Al-Imam Al-Busairi r.anhu. Lalu Syeikh Soleh bertanya ayahandanya, apakah yang sedang dibacanya. Jawab ayahandanya itu ialah burdah Al-Busairi. Lalu ayahandanya meneruskan kalam, "Kelak, aku mahu kau buat burdah seperti ini."

Lalu setelah beliau datang dan meneruskan pengajian dalam Kuliah Syariah Islamiyah, Al-Azhar, beliau telah diilhamkan oleh Allah menulis qasidah yang memuji ahli keluarga Rasulullah s.a.w terutama Sayyidina Husain r.anhu. Pada awalnya beliau hanya memuji Sayyidina Al-Imam Husain sahaja hingga satu malam, beliau bermimpi bertemu dengan Sayyidina Husain, lalu berkata, "Wahai Soleh! Kamu memuji aku dalam qasidah kamu tapi kamu tinggalkan abangku, Hasan?" Lalu beliau menulis kembali dengan memuji kedua-dua cucunda kesayangan Maulana Rasulullah s.a.w itu.

Burdah ini mempunyai 198 bait yang dipecahkan kepada 10 fasal. Pada mukadimah burdah tersebut, Syeikh Soleh menyebut bahawa setelah siap 198 bait qasidah berkenaan, beliau bermimpi bertemu dengan Sayyidina Al-Imam Husain yang memerintah kepada beliau untuk mencetak budah tersebut. Hasil keikhlasannya, burdah tersebut dibaca seperti burdah Al-Imam Busairi dari segi taqtik syair. Jika Al-Imam Busairi, beliau memulakan burdahnya dengan :

"Maulaya Solli wasallim daiman abadan, 'ala habibika khairil khalqi kullihimi" dan
"Amin tazakkuri jiranin bizi salami.."


Maulana Syeikh Soleh mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan nendanya Sayyidina Al-Imam Husain. Beliau pernah menyebut, "Jika tidak kerana Sayyidina Husain, aku tidak akan menetap di Mesir."

Syeikh Dr.Atiyah Mustafa Husain, imam dan khatib Masjid Syeikh Soleh di Darrasah ketika sambutan Maulid Sayyidina Husain yang lalu menceritakan satu kisah. Ia berlaku ketika Syeikh Soleh menziarahi Ketua Qadhi bagi Negara Sudan. Beliau membawa bersama anakandanya Syeikh Abdul Ghani yang masih muda ketika itu. Kata Ketua Qadhi tersebut kepada Syeikh Soleh, "Di Mesir, sudah ramai para ulamak dan wali Allah. Apa kata kamu, jika kamu kembali menetap di Sudan dan aku akan berikan kamu jawatan qadhi. Kamu boleh memberikan fatwa berdasarkan ilmu yang kamu ada."

Kata Syeikh Abdul Ghani yang menceritakan kembali peristiwa tersebut, ayahandanya Syeikh Soleh hanya menjawab sepatah kepada ketua Qadhi tersebut iaitu "Sayyidina Husain." Bermaksud Syeikh Soleh tidak dapat kembali ke Sudan dan menerima tawaran ketua qadhi tersebut kerana di Mesir ini terdapat Sayyidina Al-Imam Husain ra.nhu wa 'alaihis salam.

Semoga Allah berkati kita semua dengan keberkatan dari Sayyidina Al-Imam Husain ra.nhu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan