Khamis, 28 Mei 2009

Kemuliaan Sayyidina Husain (2): Adab-Adab Menziarahinya

Sayyidi Muhammad Soleh dan Sayyidi Husain di hadapan maqam nenda mereka, Sayyidina Al-Imam Husain membacakan madaih sebelum berdoa.

Antara adab kita ketika menziarahi Sayyidina Husain r.anhu:

1. Selepas menunaikan solat sunat tahiyyat masjid, maka bergeraklah menuju ke salah satu dari dua pintu utama maqam Sayyidina Al-Imam Husain dan mendahuluinya dengan kaki kanan.

2. Masuklah ziarah bersama-sama dengan jasad dan roh. Masuk dengan jasad bererti berjalan menghampiri binaan maqam tersebut dengan penuh rendah diri, tidak banyak mendongakkan kepala apatah lagi jika ada sifat 'ujub atau takabbur di dalam hati. Manakala masuk bersama roh bererti menghadirkan segala sifat mahmudah iaitu rendah diri di dalam hati. Elakkan hati dari sifat 'ujub , riak atau takabbur seperti memandang rendah kepada golongan yang duduk di sekitar kawasan maqam dengan pandangan yang buruk seperti menganggap mereka pengemis dan sebagainya.

3. Ikhlaskan niat semata-mata kerana Allah. Merasakan diri teramat hina kerana kita sedang mengadap dengan kekasih Allah dan Rasul-Nya yang disebut oleh Rasulullah s.a.w bahawa Sayyidina Husain merupakan ketua bagi pemuda dalam syurga kelak (Sayyid Syabab Ahlil Jannah).

4. Meyakini bahawa sekitar kawasan maqam tersebut iaitu yang terletak di bawah kubah maqam itu adalah tempat yang dilimpahi rahmat dan berkat dari Allah.

5. Meyakini kita sedang berada bersama-sama Sayyidina Husain seperti waktu beliau hidup kerana beliau sebenarnya tidak mati berdasarkan firman Allah perihal kehidupan orang-orang mati syahid yang hidup. Sayyidina Husain termasuk dari kalangan mereka itu kerana syahid di medan perang Karbala.

6. Meyakini kita berada bersama-sama hamba Allah yang paling mulia di Mesir seperti kalam Maulana Syeikh Soleh Jaafari seperti dipetik dalam kitab Pengajian Jumaat beliau pada jilid kesembilan (muka surat 38). Dalam pengajiannya itu, beliau menceritakan bahawa kebersamaan (ma'iyyah) dari satu generasi ke satu generasi memainkan peranan yang besar dalam mengembangkan ajaran Islam. Beliau menyebut:

"Para sahabat r.anhum hidup berada bersama-sama (ma'iyyah) dengan Rasulullah s.a.w, manakala para tabi'en pula hidup bersama-sama (ma'iyyah) para sahabat, para tabi' tabi'en pula hidup bersama-sama para tabi'en..."

Lalu ketika itu bangun seorang lelaki lalu berkata, "Al-Fatihah (bertujuan untuk doa) mudah-mudahan kami semua hari ini dapat hidup dalam kebersamaanmu wahai Syeikh Soleh,"

Lalu jawab Syeikh Soleh "Kebersamaan itu bukan bersamaku, akan tetapi kebersamaan kita pada hari ini ialah bersama-sama seafdhal-afdhal hamba Allah di Mesir... Siapa? Itulah dia Sayyiduna Maulana Al-Imam Husain bin 'Ali, jika kamu berkata kepadanya "Assalamu'alaika ya Sayyidana Al-Imam, nescaya Allah akan sampaikan salam itu kepadanya."


7. Kemudian, berdirilah menghadap ke arah maqamnya sambil membelakangi kiblat, hadapkan wajah kita kepada maqam Sayyidina Husain dengan penuh khusyuk, tentunya air mata akan mengalir penuh keinsafan.

8. Ucapkanlah salam kepada Sayyidina Husain seperti:

السلام عليك يا سيدنا الحسين
السلام عليك يا سيد شباب أهل الجنة
السلام عليك يا إبن لبنت الرسول


9. Kemudian, bacalah ayat Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 154. Firman Allah Ta'ala:

ولا تقولوا لمن يقتل في سبيل الله أموات بل أحياء ولكن لا تشعرون

Bermaksud:
"Jangan sesekali kamu mengatakan bahawa orang yang mati di jalan Allah itu mati bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka akan tetapi kamu tidak menyedarinya."

10. Kemudian berdoalah dengan bertawassul dengan Nabi Muhammad s.a.w dan Sayyidina Husain seperti contohnya:

اللهم إني أتوجه وأتوسل إليك بنبيك سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم
يا سيدي يا محمد رسول الله إني توجهت بك إلى ربي أن يقضي حوائجي وأن يُعْطِيَنِي مَا سَألَناَهُ وأن يُفَرِّجَ عَنِي همي وغمي وكربي
صلى الله عليك وسلم يا سيدي يا رسول الله
اللهم شفعه فيََ


Bermaksud:
"Ya Allah! Sesungguhnya aku hadapkan (permintaan aku) dan bertawassul kepada Engkau dengan Nabi Engkau Muhammad s.a.w,
Ya Sayyidi Ya Muhammad Ya Rasul Allah! Sesungguhnya aku meminta dengan engkau kepada Tuhanku agar Dia menunaikan segala hajatku, memberikan apa yang diminta dan melepaskan dariku segala kesempitan, kesusahan dan kesengsaraan.
Ya Allah! Syafaatkanlah dia bagiku..."



وأتوسل إليك بسيدي صاحب هذا المقام سيدنا الإمام الحسين
يا سيدنا الإمام إني توجهت بك إلى ربي أن يقضي حوائجي وأن يجعلني من الناجحين في الإمتحان والدنيا والآخرة


Bermaksud:
"Dan aku juga bertawassul kepada-Mu dengan tuan maqam ini iaitu Sayyidina Al-Imam Husain,
Wahai Sayyidina Al-Imam, sesungguhnya aku meminta kepadamu kepada Tuhanku agar Dia menunaikan hajat-hajatku dan Dia jadikan aku dari kalangan mereka yang berjaya dalam peperiksaan, dunia dan akhirat."


11. Kemudian, niat serta ceritalah apa jua masalah atau kesempitan hidup serta hajat yang dicita-citakan mudah-mudahan dimakbulkan Allah. Kisah ini telah diceritakan pada artikel lepas yang berlaku kepada salah seorang anak murid Syeikh Soleh yang bernama Haji 'Aid.

12. Kemudian, bacalah Al-Fatihah sedekahkan kepada Sayyidina Husain dan kali kedua bacaan disedekahkan buat Rasulullah s.a.w dan ahli keluarga Baginda s.a.w yang mulia.

13. Jika mempunyai masa yang panjang, bolehlah duduk ditepi maqam tersebut sambil membacakan surah Yasin atau qasidah memuji Sayyidina Husain. Antara qasidah yang masyhur yang sering didengari dibaca ialah:

حَيَُ الإمام ابن الإمام أخا الإمام أبا الأئمة* الطاهرين الطيبين الكاشفين الكل غمة
Bermaksud:
"Wahai Imam (iaitu Sayyidina Husain), saudara kepada Imam (iaitu Sayyidina Hasan), putera Imam (iaitu Sayyidina 'Ali), bapa sekalian Imam-imam (iaitu anak-anak beliau termasuk 'Ali Zainal Abidin dan lain-lain) *
(Mereka semua itu) adalah suci, baik dan merupakan penyembuh setiap kedukaan."

مدد يا مولانا يا حسين * مدد يا أبا زين العابدين

Bermaksud:
"Madad wahai Maulana Husain *
Madad wahai ayahanda (Sayyidi) 'Ali Zainal 'Abidin.

14. Keluar menuju ke pintu dengan sekali lagi mengucap salam ke atas Sayyidina Husain. Di sebelah maqam Sayyidina Husain itu terdapat bilik yang menyimpan segala kesan peninggalan Rasulullah s.a.w seperti janggut, tongkat, pedang dan jubah Baginda s.a.w yang mulia. Di pintu bilik tersebut, kelihatan para pengunjung (khasnya dari kalangan warga Arab) akan mengucup pintu tersebut sebagai mengambil berkat pada bilik mulia tersebut.

15. Akhirnya melangkah keluar dengan yakin bahawa permintaan kita akan dimakbulkan oleh Allah Taala. Juga meletakkan niat dalam hati untuk berazam akan datang lagi menziarahi Sayyidina Husain di waktu lain.

يا ربي بجاه النبي وبأهل بيته الطاهرين وبسيدنا الإمام الحسين اقبل دعوتنا
"Ya Allah! Dengan kemegahan Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya dan dengan Sayyidina Al-Imam Husain terimalah doa kami..."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan