
Sewaktu menuntut di universiti tersebut di Kaherah, beliau banyak menghabiskan masa dengan berdamping bersama Syeikh Soleh. Beliau berpesan kepada kami seperti yang pernah diwasiatkan oleh gurunya Maulana Syeikh Soleh yang saya ringkaskan kepada beberapa rumusan:
-Pelajari serta kuasailah ilmu Fekah serta berkaitan dengan Syariat Islam kerana ilmu berkaitan tasawuf atau hakikat itu merupakan fuyudhat (limpahan atau kurniaan Allah). Maksud beliau, jangan hanya menumpukan kepada ilmu tasawuf dengan mengenepikan terus ilmu Syariat.
-Berdoalah kepada saudara kamu dibelakangnya (sewaktu ketiadaannya) seperti mana kamu mendoakannya dihadapannya. Itu merupakan tanda keikhlasan kamu bersahabat dengan seseorang.
-Apabila seseorang berbudi kepada kamu, lalu kamu tidak dapat membalas budi tersebut, maka ucapkanlah baginya Jazakumullahu 'anna khairal jaza' (bermaksud: Semoga Allah membalas dari kami kepada kamu dengan sebaik-baik pembalasan). Kata Syeikh Soleh, jangan ucapkan Syukran kerana kedua-dua kalimat tersebut berbeza dari segi makna. Syukran hanyalah ucapan terima kasih sementara jazakumullah merupakan lafaz doa yang terlebih baik digunakan.
-Beliau turut berpesan dan mewasiatkan dengan taqwa sepertimana yang sering diijadikan wasiat oleh para anbiya' serta solihin sejak dahulu kala apabila diminta nasihat. Beliau membacakan sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud, "Bertakwalah kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu.." Inilah juga yang diamalkan oleh Maulana Syeikh Soleh. Dengan sifat takwa, beliau diajar oleh Allah dari ilmu lain yang tidak diketahui bahkan setiap soalan yang dikemukakan selepas pengajian, beliau menjawabnya dengan penuh yakin. Beliau turut memetik sepotong hadis Rasulullah s.a.w, "Sesiapa yang beramal dengan apa yang dia tahu nescaya Allah akan memberikan kepadanya dari apa-apa ilmu yang dia tidak tahu."
-Sewaktu menuntut dengan Syeikh Soleh, Syeikh Soleh telah menyebut kepada beliau yang ketika itu masih bergelar pelajar. "Wirid harian bagi kamu para pelajar ialah muzakarah ilmu..." Ini bermakna Syeikh Soleh tidak mahu para pelajar menyibukkan dengan urusan tariqat atau selainnya hingga mengganggu pengajian.
Teringat kalam ini pernah diungkapkan oleh Haji Abu Bakar, juga anak murid kepada Maulana Syeikh Soleh sewaktu kunjungan kami bagi kali ketiga ke Aswan, awal Februari tahun ini (2009). Beliau menyatakan bahawa Syeikh Soleh tidak akan memberikan tariqat kepada seseorang yang masih bergelar pelajar. Jika sudah selesai belajar, beliau tidak akan memberikan tariqat sehingga seseorang itu berkahwin. Hanya di akhir usia Syeikh Soleh dan sewaktu pentadbiran Syeikh Abdul Ghani, sekarang syarat-syarat tadi tidak digunapakai. Sesiapa jua layak untuk mengambil tariqat tanpa halangan.
Maka tidak hairanlah, Haji Abu Bakar menceritakan kepada kami, sesiapa yang ingin mengambil tariqat dari Syeikh Soleh, beliau tidak akan mudah-mudah memberikannya kecuali setelah beliau melakukan solat sunat istikharah. Hanya setelah diizinkan oleh Maulana Rasulullah s.a.w sama ada melalui mimpi atau yaqazah (jaga) maka baru beliau akan menyempurnakan hajatnya. Ini bermakna sesiapa yang telah mengambil tariqat dari tangan Syeikh Soleh sendiri sewaktu hayatnya, maka dia telah mendapatkan keizinan dari Maulana Rasulullah s.a.w. sendiri.
Ini dikuatkan cerita yang disampaikan oleh Prof.Dr.Muhammad Sayyid Sultan, pensyarah Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar cawangan Asyut yang juga wakil syeikh di Bani 'Adi, Asyut yang menyebut tidak hairan anak-anak murid Syeikh Soleh sudah dikurniakan keramat dari Allah,antara mereka hanya dengan membaca Al-Fatihah lalu terbuka anak kunci pintu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan