Rabu, 13 Mei 2009

Syeikh Soleh Berselawat 2,000 Kali Sebelum Tidur


Kecintaan Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu kepada Maulana Rasulullah s.a.w amat menebal dalam sanubari serta jiwa beliau. Ini dapat dibuktikan melalui qasidah berbentuk pujian kepada Rasulullah s.a.w yang dijilidkan menjadi 12 juzuk yang boleh didapati di Maktabah Jawami'ul Kalim. Bagi penuntut ilmu, anda akan mendapat tawaran dengan harga yang amat murah.

Diriwayatkan Syeikh Soleh Jaafari r.anhu tidak akan tidur pada waktu malam kecuali setelah berselawat ke atas Rasulullah s.a.w sebanyak 2,000 (dua ribu kali) dengan selawat 'Azimiyah! Seperti yang kita maklum selawat 'Azimiyah oleh Sayyidi Ahmad bin Idris merupakan selawat yang agak panjang. Tetapi kerana kecintaan kepada Rasulullah, Syeikh Soleh dimudahkan oleh Allah bagi berselawat 2,000 kali. Itu bilangan beliau sebelum melelapkan mata, bukan pada waktu biasa. Ingatannya kepada Rasulullah s.a.w tidak pernah lekang dari jiwa serta ingatan beliau. Bahkan setiap hembusan nafas dan kerlipan mata, beliau mengingati Baginda s.a.w.

Tidak hairanlah, seperti yang diceritakan kepada kami oleh Prof.Dr.Atiyah Mustafa Husain, pensyarah Universiti Al-Azhar dalam Kuliah Usuludin Dakwah, bagaimana salah seorang anak murid Syeikh Soleh telah bermimpi bertemu Maulana Rasulullah s.a.w. Beliau bertanya kepada Rasulullah tentang gurunya, Syeikh Soleh. Jawab Rasulullah, "Radhiyallau 'anhu (Rasulullah mendoakan semoga Allah meredhainya). Sesungguhnya dia (Syeikh Soleh) amat banyak mengingati daku."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan