Ahad, 17 Mei 2009

Selamat Hari Guru buat Guru Kami Semua

Dua guru murabbi, Syeikh Dr.Abdul Halim Mahmud r.anhu, syeikhul Azhar merupakan pencinta kelas pengajian Syeikh Soleh di Masjid Azhar.Beliau selalu menghadirinya.


Haji Husain Madani (kiri) dan Syeikh Sayyid Musa (kanan). Kedua-duanya pernah berkhidmat dengan Syeikh Soleh sewaktu hayatnya. Kini mereka adalah guru kami.

Dua ulamak Hadis zaman ini. Syeikh Dr.Sa'ad Gawish (kanan) dan Syeikh Dr.Yusri Jabar Al-Hasani (kiri). Semoga Allah berkati mereka. Kedua-duanya kini sibuk menyebarkan ilmu mereka kepada para pelajar dengan jadual kelas masing-masing.

Dua guru Al-Quran yang mengajar anak-anak umat Islam mengenali kalam Allah. Syeikh Nabil (kanan) mengajar di Masjid Sayyidina Husain manakala Syeikh Ashraf Hamid Hasanain (kiri) mengajar setiap pagi di makam Syeikh Soleh. Semoga Allah memuliakan mereka dengan Al-Quran. Kedua-dua mempunyai sanad Al-Quran bersambung hingga ke Maulana Rasulullah s.a.w.

Dua pensyarah Al-Azhar, anak didik Syeikh Soleh. Dari kanan ialah Dr.Atiyah, pensyarah Al-Azhar di Kuliah Usuludin Dakwah di Syibin El-Kom dan Prof.Dr.Muhammad Sayyid Sultan (kiri), pensyarah Kuliah Bahasa Arab Al-Azhar Asyut, wakil syeikh di Asyut.

Tiga anak didik Maulana Syeikh Soleh. Dari kanan Haji Abu Bakr, wakil syeikh di Aswan (banyak mengajar kitab tasawuf di masjid Aswan), Haji Khalifah, wakil syeikh di markaz Helwan (tengah) dan Haji Sa'ad (kiri). Kalam nasihat mereka cukup mengesankan jiwa.

Haji Husain, juruteknik komputer. Anak murid Syeikh yang ikhlas lagi istiqomah. Banyak mengajar kami anak-anak Malaysia untuk membacakan madih serta qasidah Syeikh Soleh. Beliau mengendalikan kelas untuk bacaan madih di masjid Syeikh.

Sempena sambutan Hari Guru yang disambut tahun ini, kami ingin mengucapkan penghargaan yang setinggi-tingginya buat semua guru yang mengajar kami mengenali ilmu agama Islam dan menghargai nikmat iman selama ini. Mereka ialah guru kita apabila mengajar kita kebaikan walaupun sebesar zarah. Memetik kalam Saidina Al-Imam 'Ali bin Abi Talib, ra.nhu wa a.salam "Seseorang itu adalah guru kamu walaupun mengajar satu huruf.."

Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu pernah menyebut, "Diharuskan untuk mencium tangan kepada tiga golongan berikut:

Pertama: Kedua-dua ibu bapa kita
Kedua: Ulamak yang beramal dengan ilmu mereka (ulamak al-'amilin)
Ketiga : Keturunan Rasulullah s.a.w walaupun dia masih kecil."

Para ulamak yang beramal dengan ilmunya adalah tanda keikhlasan mereka mendidik umat walaupun tanpa memikirkan habuan dunia. Berbekalkan iklas serta istiqomah ini menjadikan mereka ulamak yang mukhlisin yang berjuang menyebarkan Islam semata-mata mencari redha Allah. Sewajarnya mereka ini dihargai pada sambutan sebegini mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan mereka itu. Jika tidakpun, mencintai serta menyayangi mereka sudahpun merupakan nikmat yang agung.

Kita patut merasa terhutang budi terhadap pengorbanan mereka ini. Pengorbanan mereka tentunya tidak dapat dibalas walaupun dengan harta benda apatah lagi dengan sebarang ucapan atau kalam. Sekadar mampu berdoa kepada Allah agar mereka semua dilimpahkan nikmat serta rahmat dari Allah serta mengharapkan hanya Dia yang membalas jasa mereka.

Nikmat yang dikurniakan oleh Allah dengan usaha mereka ini ialah nikmat "mahabbah" iaitu kasih dan sayang. Antara mereka yang banyak mengajar kami erti kasih sayang ini ialah Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu. Walaupun tidak sempat sezaman dengan beliau, namun atas kehendak Allah kami dipertemukan dengan anakandanya iaitu Syeikh Abdul Ghani. Atas kehendak-Nya lagi, kami dipertemukan dengan anak-anak murid Syeikh Soleh yang masih hidup yang berada di serata Mesir, menyebarkan Islam dan dakwah mengikut manhaj yang diajar oleh syeikh mereka. Melalui kalam nasihat mereka ini, banyak yang telah kami jadikan panduan meniti hidup ini.

Syeikh Soleh Jaafari telah banyak mengajar kepada anak didiknya yang telah mendahului kami. Selama 50 tahun beliau berada dan tinggal di dalam Masjid Al-Azhar. Beliau tidak keluar dari tempat khalwatnya kecuali untuk menunaikan fardhu haji atau menziarahi makam Ahlul Bait Rasulullah s.a.w.

Setelah kewafatannya, beliau telah menyediakan wasiat serta bekalan yang mencukupi buat generasi yang datang kemudiannya. Kalam ucapan beliau di kuliah setiap kali Jumaat dibukukan hingga menjadi 10 jilid seperti hari ini. Begitu juga dengan lembaian kertas yang dijumpai oleh seorang anak muridnya setelah kewafatannya. Lembaian tersebut mengandungi kalam nasihat berbentuk syair atau qasidah yang dikarang oleh beliau sepanjang hidupnya lalu dibukukan menjadi 12 jilid seperti yang dilihat hari ini. Dalam qasidah-qasidah tersebut, beliau banyak memberikan kata-kata semangat agar mencintai Allah dan Rasul-Nya. Bahkan banyak dari qasidahnya yang menggalakkan untuk menziarahi Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga Baginda s.a.w.

Kerana beliau dan para ulamak ini, kita dapat mengenali Ahli keluarga Baginda s.a.w yang menjadi kewajipan bagi anak-anak umat Islam mengenali mereka berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. "Ajarlah anak-anak kamu dengan mencintai Nabi kamu, mencintai ahli keluarganya serta membaca Al-Quran.." Dalam Burdah Al-Hasaniyyah dan Husainiyyah beliau menyebut;

فما عليك جناح إن شغلت بهم * فحبهم نعمة من أعظم النعم
Bermaksud, "Tidaklah berdosa bagi kamu menyibukkan diri (mengingati) mereka (iaitu ahli keluarga Rasulullah s.a.w),
Ini kerana mencintai mereka (ahli keluarga Rasulullah s.a.w) merupakan sebesar-besar nikmat.."

Terima kasih buat semua guru-guru kami yang telah banyak menunjukkan kami ke jalan redha Allah. Kalau tidak kerana kalian, tidak kami mengenali Islam dan Iman, tidak kami mengenali Allah dan Rasul-Nya..

Buat guru serta pendidik roh kami, Maulana Syeikh Soleh Jaafari, anakandanya Syeikh Abdul Ghani, pewaris-pewarisnya Sayyidi Muhammad Soleh, Sayyidi Husain dan Sayyidi Hasan. Tidak lupa buat anak didik mereka yang juga murabi kami iaitu Syeikh Ashraf Hamid Hasanain, Syeikh Dr.Atiyah Mustafa Husain (imam dan khatib Masjid Syeikh Soleh), Prof. Dr. Muhammad Sayyid Sultan (profesor Jabatan Balaghah, Kuliah Bahasa Arab Al-Azhar cawangan Asyut yang juga wakil syeikh di markaz Jaafari di Bani 'Adi, Asyut), Syeikh Nabil (guru Al-Quran), tidak lupa anak-anak didik Syeikh Soleh iaitu Syeikh Haji Abu Bakr (wakil syeikh bagi markaz Jaafari di Jabal Taquq, Aswan), Haji Sa'ad, Haji Khalifah (wakil syeikh bagi markaz Jaafari di Helwan), Haji Sayyid Musa (khadam Syeikh Soleh sewaktu hayat beliau) serta semua guru dan para masyayeikh kita yang mengajar sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya tentang kebaikan dan Islam.

Gambar guru serta syeikh yang dimasukkan di atas hanyalah beberapa butir bintang dari jutaan bintang yang berkerlipan menyinari alam ini. Selain mereka, tentunya ramai lagi para ulamak dari kalangan guru-guru kita yang tidak dapat disebutkan satu persatu di sini. Semoga Allah merahmati mereka semua.

Buat mereka sekalung Al-Fatihah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan