Selasa, 12 Mei 2009

Syeikh Soleh Asyik Dengan Penciptanya


Syeikh Soleh Jaafari r.anhu dikurniakan mengingati Allah di mana jua keadaan dan masa. Cintanya kepada Allah mengatasi segala-galanya kerana dengan ilmunya beliau mengenali Allah, Tuhan dan penciptanya. Seorang anak murid beliau iaitu Syeikh Abu Bakar atau yang dikenali dengan Haji Abu Bakar, yang kami temui beliau sewaktu rehlah kami ke Aswan. Beliau menceritakan sewaktu Syeikh Soleh berada di Masjid Al-Azhar, isteri beliau datang dari Sudan semata-mata menziarahi suaminya tercinta. Setelah sebulan berada di Mesir, akhirnya isterinya pulang tetapi tidak dapat menemui Syeikh Soleh yang sibuk berkhalwat di Masjid Al-Azhar. Setelah isterinya pulang ke Sudan, seorang anak muridnya memberitahu Syeikh Soleh tentang kepulangannya ke Sudan, lalu Syeikh Soleh terkejut, "Apa?Isteriku ada datang ke Mesir. Bila dia pulang?" Jawab khadamnya isterinya sudah sebulan di Mesir dan telah selamat pulang. Haji Abu Bakar menyebut Syeikh Soleh begitu asyik hubungannya dengan Allah hingga isterinya pun tak disedarinya.

Lalu Haji Abu Bakar yang terkenal dengan ahli sufi di Aswan itu menceritakan kisah sedemikian pernah berlaku kepada Maulana Rasulullah s.a.w seperti yang diriwayatkan oleh Sayyidi Ahmad bin Idris r.anhu dalam kitabnya bertajuk "Al-Muntaqa Al-Nafis 'Fi Manaqib Qutub Dairatu Taqdis Sayyidi Ahmad ibni Idris". Satu ketika Maulana Rasulullah s.a.w sedang berzikir dalam rumahnya, tiba-tiba masuk Sayyidatina 'Aisyah r.anha isteri Baginda s.a.w. Lalu Baginda bertanya, "Siapakah itu?" Jawab 'Aisyah, "Aisyah." Tiba-tiba Rasulullah meneruskan pertanyaan seperti beliau tidak pernah mengenalinya. "Siapa 'Aisyah?" Jawab Aisyah "Anak Abu Bakar." Tanya Baginda s.a.w lagi, "Siapa Abu Bakar?" Jawab Aisyah, "Sahabat kepada Muhammad." Lalu Baginda bertanya, "Siapakah Muhammad?" Bila sampai disitu, Sayyidatina Aisyah berhenti dari meneruskan jawapan dan mengetahui keadaan Maulana Rasulullah s.a.w ketika itu yang asyik dengan Allah hingga lupa kepada makhluk lain termasuk diri Baginda s.a.w sendiri. Al-fatihah kepada Syeikh Soleh..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan