Rabu, 13 Mei 2009

Salam Mahabah Dari Kami Abna' Malaysia



Kenangan selepas berba'iah tahun 2006

Salam mawaddah dan mahabah dihulurkan dari kami Abna' Maulana Syeikh Soleh Jaafari r.anhu cawangan Malaysia di Mesir. Kesuluruhan kami dengan izin Allah serta taufik-Nya telah berbai'ah dengan guru serta murabbi kami, Sayyidi Syeikh Abdul Ghani Soleh Jaafari selepas majlis hadrah hari Khamis, dalam bulan Rabi'ul Awwal tahun 2006 masihi. Majlis yang penuh bersejarah itu turut disaksikan oleh sekalian abna' syeikh dari warga Arab yang lain. Kami telah meletakkan tangan kami atas tangan Syeikh Abdul Ghani serta kami ditalkinkan dengan kalimah "Lailaha illallah, Muhammadur Rasulullah, Fi Kulli Lamhatin Wa Nafasin 'Adada Ma Wasi'ahu 'Ilmullah" iaitu kalimah asas dalam tariqat seperti yang diwarisi oleh ayahandanya, Syeikh Soleh Jaafari yang seperti yang diambil dari Maulana Sayyidi Ahmad bin Idris r.anhu seperti yang ditalkinkan kepadanya oleh Maulana Rasulullah s.a.w.

Kemudian bai'ah kami disusuli dengan ayat berikut dalam bahasa Arab:

" Kami meredhai Tariqat Jaafariyah Ahmadiyah Muhammadiyah sebagai tariqat kami, kami juga meredhai Syeikh Soleh Jaafari sebagai syeikh kami, kami berjanji akan melazimi wiridnya, selawatnya serta menghadiri hadhrah pada setiap hari Ahad dan Khamis. Semoga Allah memudahkan kami kepada demikian itu. Al-fatihah.."

Bermula saat itu secara rasmi jadilah kami sebagai Abna' Syeikh Soleh yang mengikuti manhaj Syeikh Soleh menuju kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sejak itu juga telah ramai dari kalangan orang yang mencintai ulamak (muhibbin) telah mengunjungi serta mengambil berkat dari Syeikh Abdul Ghani di masjid ayahandanya di Darrasah. Sesiapa yang ingin menziarahinya, boleh dapatkan Syeikh Abdul Ghani pada setiap lima waktu solat berjemaah. Beliau pasti akan keluar untuk solat berjemaah walaupun terpaksa dipapah oleh pembantunya. Namun, hanya beberapa bulan kebelakangan ini, kerana keuzuran yang menimpa, doktor telah menasihati beliau untuk tidak banyak bergerak kerana sakit yang dihadapinya. Oleh itu, beliau tidak dapat lagi keluar solat berjemaah di masjid. Kehadiran beliau hanya untuk solat Jumaat serta menghadiri majlis hadrah pada hari Ahad dan Khamis selepas maghrib.

Semoga Allah mengurniakan kasih dan sayang kepada mereka, para ulamak serta wali-wali-Nya di dalam hati kita semua. Amin.

Dari kalangan pencinta ulamak, bergambar bersama Syeikh Abdul Ghani.

Bergambar bersama Sayyidi Abdul Ghani di markaz Jaafari di Luxor tahun 2007.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan